Gary Neville Ajar United Cara Sebenar Urus Perpindahan Pemain

Manchester United dilaporkan akan meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan Jadon Sancho pada jendela perpindahan Januari nanti.

Usaha untuk mendapatkan Sancho terpaksa diteruskan pada jendela perpindahan akan datang selepas United gagal untuk menandatangani pemain itu pada musim panas ini.

Sancho merupakan sasaran nombor satu setan merah pada jendela perpindahan musim panas lalu, tetapi mereka gagal untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Dortmund.

Pasukan dari premier league itu tidak sanggup untuk membayar nilai £108 juta yang ditetapkan oleh Borussia Dortmund sendiri.

Sebaliknya, mereka telah menawarkan £90 juta untuk mendapatkan Sancho dengan tawaran £75 juta di tambah £15 juta bonus tambahan.

Dortmund menolak tawaran dari United itu dan setan merah sendiri tidak mahu mengalah dan akan cuba lagi untuk menandatangani Sancho pada tahun hadapan.

Menurut sumber laporan salah seorang penulis dari Norway, Fredrik A. Filtvedt, pemain kebangsaan England berusia 20 tahun itu masih lagi menjadi pemain sasaran Ole Gunnar Solskjaer untuk jendela perpindahan seterusnya.

Menulis di laman twitter, Fredrik A. Filtvedt menyatakan:

“Sancho kekal sebagai pemain paling dikehendaki dalam senarai pemain yang mahu ditandatangani oleh United dan akan terus menjadi sasaran utama kelab dalam jendela perpindahan akan datang.”

Dalam satu ciapan lain, beliau kemudian menambah:

“Tidak pasti bagaimana ianya akan berjalan lada jendela perpindahan akan datang.”

Usaha United untuk mendapatkan Sancho sebenarnya tidak berjalan dengan begitu baik. Gary Neville sendiri menganggap situasi yang dilalui oleh setan merah itu merupakan satu hal yang memalukan.

Bercakap dalam satu podcast di Off The Ball, Gary Neville menyatakan:

“Hal berkaitan Sancho ini sangat memalukan. Ianya telah berjalan hampir empat bulan sekarang. Ia sangat memalukan.”

“Dan kemudian bidaan yang diletakkan pula telah ditolak, kalau kelab itu bijak, dia akan melakukan rundingan belakang tabir terlebih dahulu, egen akan berusaha lebih keras lagi, dan ketika kedua-dua kelab sudah bersetuju barulah bidaan rasmi dihantar, bila bidaan diterima semuanya selesai.”

“Siapa saja yang meletakkan bidaan kemudian tidak diterima dalam pasaran pemain sekarang? Susah untuk melihat situasi seperti itu, sangat jarang.”

“Kebiasaannya kelab akan membuat rundingan awal, ejen sendiri sudah tahu apa yang pemainnya akan dapat, pemain tahu apa majikan dia akan dapat. Saya cuma tak faham dengan apa yang dilakukan oleh United. Ianya sangat tidak bagus. Itulah sebabnya saya mahu mengkritik.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.