Gandingan Jota Dan Shaqiri Cipta Gol Kemenangan Luar Biasa Untuk Liverpool

Sang penakluk dunia, Liverpool kembali menerajui carta saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas kemenangan bergaya mereka menewaskan West Ham 2-1 awal pagi tadi.

Diogo Jota muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan Liverpool serta memastikan rekod tidak terkalahkan the reds dalam saingan premier league masih terjaga.

Penandatanganan baru Liverpool itu kini sudah berjaya menjaringkan tiga gol dari tiga perlawanan untuk the reds di Anfield.

Diogo Jota menjadi pemain pertama selepas Luis Garcia untuk menjaringkan gol dari setiap tiga perlawanan liga di Anfield selepas kejayaannya menjaringkan gol ketika bertemu Arsenal, Sheffield United dan West Ham.

Jota dimasukkan pada babak kedua permainan bersama Shaqiri dan kedua-dua mereka terlibat dalam jaringan kemenangan untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Liverpool terlebih dahulu ketinggalan 0-1 seawal minit ke-10 permainan selepas Pablo Fornals membuka tirai jaringan untuk West Ham.

Liverpool telah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-42 permainan, selepas Mo Salah dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Massuaku.

The Egyptian king itu cemerlang menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan mengikat kedudukan menjadi 1-1 sebelum masuk ke bilik persalinan.

Pada minit ke-70 permainan, Jurgen Klopp telah memasukkan Diogo Jota dan Xherdan menggantikan Roberto Firmino dan Curtis Jones.

Kemasukkan dua pemain itu ternyata membuahkan hasil dengan jentera serangan Liverpool dilihat lebih aggresif dan lebih banyak melancarkan cubaan berbahaya.

Pada minit ke-78 Diogo Jota berjaya menjaringkan gol untuk Liverpool namun gol jaringannya itu dibatalkan oleh pengadil kerana mendakwa Sadio Mane terlebih dahulu telah mengasari Fabianski sebelum gol dijaringkan.

Pada minit ke-85, hasil permainan bijak dari jentera serangan Liverpool, Xherdan Shaqiri berjaya melakukan satu lorongan yang cukup cantik dan disempurnakan dengan cukup menarik oleh Jota untuk gol kedua the reds.

Shaqiri menolak kemas bola tersebut melepas barisan pemain pertahanan West Ham dan Jota juga bijak mencari ruang lalu berjaya mendapatkan bola tersebut sebelum beliau cemerlang melepaskan rembatan menewaskan Fabianski.

Gol tersebut merupakan gol kemenangan untuk Liverpool menewaskan West Ham 2-1 dan dengan kemenangan tersebut, the reds kini kembali ke puncak saingan liga dengan mengumpul 16 mata.

“Ianya sangat bermakna untuk saya. Saya selalu berfikir apa yang boleh saya lakukan untuk memastikan saya dapat ruang melepasi pertahanan lawan. Memulakan perlawanan itu memang penting namun apa yang lebih penting adalah kemenangan.”

Jelas Diogo Jota selepas tamat perlawanan.

Jota turut menjelaskan bahawasanya beliau sangat selesa berada di Anfield selepas kedatangannya disambut baik oleh para pemain dan beliau mahu melakukan yang lebih baik untuk terus membantu Liverpool dalam semua pertandingan yang disertai musim ini.

“Saya perlu sebut namanya, Jordan Henderson. Bahkan sebelum saya tiba di sini dia sudah menghantar pesanan kepada saya dan menyatakan bahawa dia selalu ada dan sentiasa menyambut baik kedatangan saya.”

“Sejak hari pertama saya di sini, pengurus selalu bercakap kepada saya tentang perkara yang perlu saya lakukan. Saya sangat gembira dapat membantu pasukan saya.”

“Kami perlu lebih banyak bergerak dan pada akhirnya saya berpeluang dan mendapat ruang yang cukup baik.”

Ketika ditanya tentang gol jaringannya yang dibatalkan, Jota dengan tegas menyatakan bahawa gol tersebut sepatutnya sah dan beliau tidak nampak apa-apa kesalahan yang menyebabkan gol tersebut dibatalkan.

“Untuk saya ianya jelas sekali gol, saya tidak nampak apa-apa yang mencurigakan dan saya tidak tahu mengapa ianya dibatalkan.”

Diogo Jota membuktikan bahawa beliau pemain yang tepat untuk ditandatangani selepas apa yang beliau pamerkan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.