Forkey Doe Nekad Heret Pahang Ke FIFA

Persatuan Bola Sepak Pahang (Pahang FA) dikatakan gagal menjelaskan gaji bekas pemain import, Francis Forkey Doe berjumlah RM746,500 menyebabkan pemain itu akan merujuk kes tersebut kepada FIFA.

Malah pemain itu melalui peguamnya, Zhafri Aminurashid yang akan membela pemain itu berkata, Forkey Doe tidak pernah bersetuju menamatkan tempoh kontrak lebih awal seperti yang pernah dikatakan oleh pengurus Pahang, Datuk Mohammed Sufian.

Ini merupakan isu kedua mengenai tunggakan gaji yang perlu dihadapi oleh Pahang FA selepas Mohomadou Sumareh dilaporkan angkat kaki dan menyertai Police Tero FC di Liga Thailand atas sebab yang sama.

“Saya ingin tegaskan, Forkey Doe tidak menyatakan persetujuan atau mengisi mana-mana borang khususnya borang C-06 untuk meninggalkan pasukan Pahang,” kata Zhafri kepada Arena Metro pada Isnin lalu.

“Kami mempunyai semua bukti yang akan diserahkan kepada Fifa bagi menuntut hak Forkey Doe selepas gajinya tidak dibayar seperti terdapat dalam kontraknya.

“Malah, saya dah semak dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) borang C-06 tidak pernah diberikan oleh PBNP. Sepatutnya sebagai badan induk, FAM perlu menyimpan salinan borang itu sebagai menandakan pemain setuju menamatkan kontrak.

“Saya enggan ulas lanjut cuma apa yang saya boleh katakan, kami akan tetap bawa ke Fifa meskipun cuba dinafikan PBNP. Biarlah Fifa yang putuskan,” katanya kepada Arena Metro.

Jika Forkey Doe dan penguamnya meneruskan niat mengheret Pahang ke FIFA, maka ini bukan kali pertama persatuan itu berhadapan dengan isu yang sama.

Pada 2015 Pahang pernah dikenakan hukuman enam mata dalam saingan Liga Malaysia atas arahan Fifa kerana gagal membayar pampasan kontrak bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji berjumlah RM537,435.

Kontrak Borji ditamatkan oleh Pahang FA pada 2013 kerana prestasi buruknya dalam saingan liga, namun pemain itu membuat aduan kepada Fifa selepas tidak mendapat pampasan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.