Dalam satu sidang media khas oleh FMLLP semalam, mereka mengesahkan bahawa Felda United disingkirkan ke Liga Perdana kerana tiada lesen.
Sementara itu pemohonan Persatuan Bola Sepak Terengganu yang mahu menukarkan T-Team menjadi feeder club kepada Terengganu diterima.
Jadi, ada 2 kekosongan slot Liga Super untuk musim 2018. Lantaran, FMLLP memberikan 2 slot itu kepada PKNP FC dan juga Negeri Sembilan.
Paling mencuri tumpuan adalah apabila wartawan menyatakan ada laporan yang menggambarkan Felda United sedang dianiaya oleh FMLLP kerana ada agenda peribadi.
Kevin Ramalingam jelas tidak gembira dengan berita itu dan menerangkan FMLLP harus tegas dalam isu lesen agak bola sepak Malaysia bergerak maju.
Beliau mahu semua pihak tidak terlalu mudah menjatuhkan tuduhan setiap apa yang dilakukan oleh FMLLP adalah kerana mahu memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.
Dalam satu kenyataan dalam laman rasmi FMLPP yang bertajuk: JANGAN POLITIKKAN ISU DENGAN KENYATAAN “DIANIAYAI”.
Kevin Ramalingam jelas sekali kecewa dengan tuduhan liar yang mengaitkan setiap tindak-tanduk mereka ada kaitan dengan memberikan kelebihan kepada pasukan seperti JDT.
Felda United disingkirkan kerana masalah yang timbul daripada mereka sendiri yang gagal mengemukakan audit kewangan kepada pihak FMLLP.
“Tidak timbul isu penganiayaan atau mempunyai agenda lain terhadap pasukan Felda United FC kerana keputusan tersebut dibuat berdasarkan fakta bahawa Felda United tidak mengemukakan penyata kewangan beraudit pada tarikh yang ditetapkan dan menyebabkan lesen tidak dikeluarkan.”
“Adakah setiap keputusan yang dibuat perlu diputar belit supaya nampak seperti ia adalah untuk menganiayai sesebuah pihak supaya segalanya menyebelahi JDT?”
Kevin Ramalingam berharap semua pihak mengubah cara berfikir demi kebaikan dalam bola sepak Malaysia.
“Cara pemikiran ini adalah lebih untuk menutup kesalahan sendiri dengan menuding jari. Bila pula kita nak terima kelemahan, baiki kesalahan dan terus maju?”
FMLLP memandang serius isu lesen ini dan tegas dalam memastikan segala piawaian itu ditepati.
“FMLLP tidak boleh menutup mata atau ‘memberi peluang’ kepada mana-mana kelab supaya kita dilihat setanding dengan Negara jiran yang tegas terhadap pelesenan kelab.”
“Sebagai contoh, dua pasukan Divisyen 2 Liga Thailand telah diturunkan ke Divisyen 4 kerana gagal mendapatkan pelesenan kelab.”
“Tinggalkan semua pemikiran yang negatif supaya bolasepak kita mampu maju ke hadapan.”
FMLLP telah menjadi sasaran oleh ramai peminat bola sepak tanah air. Musim lalu FMLLP dikatakan mengubah dasar perpindahan pemain pada pertengahan musim untuk membolehkan Mohamed Ghaddar menyertai JDT.
Tidak cukup dengan itu, pada beberapa minggu lalu, FMLLP dituduh mengubah dasar pemain import Asean ke-4 yang mewajibkan pemain ada 30 kaps kebangsaan dalam peraturan kuota import 3+1+1, semata-mata kerana Hariss Harun.
Segala tuduhan yang dilemparkan itu dianggap tidak berasas. Ini kerana FMLLP berkata mereka memang sudah merancang perkara seperti itu lebih awal. Ianya akan memberikan kebaikan kepada liga bola sepak Malaysia.
Berita promosi ke Liga Super ini disambut baik oleh pihak FMLLP dan juga Negeri Sembilan. FMLLP menyatakan mereka sudah menghubungi 2 pasukan tersebut berkenaan dengan hal itu.