Tom Waller, pengarah filem seperti Mindfulness And Murder (2011) dan The Last Executioner (2014), bakal membawa kisah dramatik, para pelajar yang terperangkap di gua Chiangrai, ke layar perak.
Tom Waller, yang lahir di Thailand memberitahu bahawa filem tersebut bakal menemui penonton di layar perak pada November ini.
Trailer filem tersebut baru sahaja dikeluarkan dengan judul The Cave. Untuk pasaran Thailand ianya dikenali sebagai Nang Non.
Filem ini adalah berdasarkan kisah benar, satu pasukan bola sepak sekolah yang terperangkap di dalam gua Tham Luang pada 23 Jun 2018, yang lalu. Mereka terdiri daripada 12 pelajar dan 16 lagi merupakan jurulatih dan para pembantu jurulatih.
Operasi mencari dan menyelamat mulai dilancarkan. Dengan banyak persoalan, di manakah kedudukan mangsa?
Selepas mengetahui kedudukan mereka, persoalan seterusnya adalah, bagaimana cara mahu mengeluarkan mereka?
Dengan keadaan muka bumi dan juga cuaca yang buruk, para pasukan penyelamat sangat sukar untuk melakukan tugas mereka.
Keadaan ini telah menarik perhatian dunia. Ini termasuk tokoh seperti Elon Musk.
Dengan penyebaran berita secara atas talian di media sosial, beberapa pakar menyelamat dari seluruh dunia mulai berkumpul di Thailand untuk membantu.
Filem Waller ini memfokuskan kepada operasi menyelamat yang dilakukan individu seperti Jim Warny. Penyelam berpengalaman yang merupakan pakar dalam misi menyelamat.
Waller menyifatkan filem ini sebagai filem paling besar yang pernah beliau arahkan. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di Festival Filem Cannes baru-baru ini.
Waller berterima kasih dengan bantuan daripada rakan-rakan produksi beliau di Hollywood yang membantu mencipta latar belakang filem tersebut, agar ia serealistik yang mungkin.
Waller mengakui cabaran utama beliau adalah dalam usaha mengimbangi nilai cerita kisah benar, dengan drama. Waller lebih ke arah mahu memastikan jalan cerita yang nyata dapat dipaparkan, lebih daripada nilai drama.
Saksikan trailer pertama filem tersebut di sini:
Kisah pelajar-pelajar ini akan kekal di dalam ingatan kita semua. Mereka pernah dijemput oleh Manchester United untuk menyaksikan perlawanan di Old Trafford.