Sudah menjadi kebiasaan, apabila rumah siap, pahat masih berbunyi. Semalam kecoh di seluruh dunia apabila kapten Nicaragua, Juan Barrera terkejut apabila mendapati nama beliau disahkan mengundi Lionel Messi untuk Anugerah Pemain Terbaik FIFA Best 2019.
Lionel Messi menang Pemain Terbaik Dunia, mengatasi Virgil Van Dijk dan juga Cristiano Ronaldo.
Namun apa yang kurang enak didengar adalah, disyaki ada undi hantu dalam pemilihan kali ini.
Barrera kemudian menyatakan beliau tidak tahu dari mana undian ‘beliau’ itu boleh ada. Yang pasti Barrera kali ini tidak mengundi untuk FIFA Best.
“Saya tidak mengundi untuk Messi. Tahun lepas saya mengundi, namun kali ini saya tidak terlibat.”
Menerusi twitter beliau, Barrera menyatakan: “Tidak mengundi langsung untuk FIFA Best 2019, sebarang informasi undian saya adalah tidak benar.”
No Vote por los premios #TheBest2019 cualquier información sobre mi voto es falso , gracias.
— Juan Barrera (@juanbarreranica) September 24, 2019
Perkara itu telah menarik respon daripada FIFA. Jurucakap FIFA menyatakan mereka menerima salinan borang undian yang sudah disahkan dan ada cop rasmi.
FIFA kemudian meminta penjelasan daripada FA Nicaragua, dan mahu meminta mereka siasat, bagaimana perkara itu boleh berlaku.
FIFA menafikan sekeras-kerasnya ada unsur pilih kasih, ataupun agenda menyokong Lionel Messi dalam pemilihan pemain terbaik dunia pada kali ini.
FIFA dihujani dengan pelbagai kritikan dan komen pedas daripada para peminat bola sepak.
Semalam, FA Nicaragua akhirnya tampil memberikan respon. Mereka menjelaskan bahawa, Juan Barrera bukan lagi kapten pasukan mereka. Nama dan borang yang ditandatangani oleh Juan Barrera adalah daripada musim lalu.
Nicaragua sepatutnya diwakili oleh Manuel Rosas, kapten mereka pada ketika ini.
FA Nicaragua turut mengesahkan mereka sudah memecat pegawai yang melakukan kesilapan itu dengan serta merta.