Fernandinho Sanggup Langgar Protokol Demi Untuk Menceriakan Pesakit Barah Otak

Ketua pasukan Manchester City, Fernandinho sanggup melanggar protokol demi untuk menghadiahkan detik yang cukup istimewa kepada salah seorang pesakit barah otak ketika acara penyampaian Piala kejuaraan Premier League malam kemarin.

Jake Tindale merupakan salah seorang peminat Man City yang baru berusia 15 tahun, dan beliau pada tahun lalu telah didiagnos menghidap barah otak.

Beliau juga telah menjalani proses pembedahan untuk membuang barah tersebut pada Christmas lalu dan pihak kelab telah menyediakan sesuatu yang sangat istimewa untuk Jake.

Manchester City meminta Jake untuk menjadi tetamu khas yang akan menyampaikan Piala kejuaraan kepada Fernandinho.

Walau bagaimanapun, keluarga Jake mendedahkan menerusi laman twitter bahawa pemain kebangsaan Brazil itu telah mengubah hari yang istimewa untuk Jake menjadi hari yang paling bermakna dalam hidupnya.

Berbanding mengambil Piala itu di tepi pentas dan membawanya kepada para pemain yang lain mengikut protokol yang ditetapkan, Fernandinho lebih memilih untuk meminta Jake membawa sendiri Piala tersebut ke pentas dan meraikan bersama para pemain City.

Semangat dan budaya yang sungguh indah ditunjukkan oleh legenda Manchester City yang ketika ini berusia 36 tahun itu.

Keluarga Jake berkongsi detik tersebut di laman twitter dengan Fernandinho ketika itu berjalan kembali ke pentas sambil rakan sepasukannya menunjuk ke arah Jake seolah memberitahunya bahawa beliau terlupa membawa Piala.

Fernandinho berjalan bersendirian tanpa membawa Piala dan rakan sepasukannya menganggap beliau terlupa untuk mengambil Piala dari Jake, hakikatnya, beliau mempunyai rancangan yang lebih indah untuk pemuda bertuah itu.

“Adakah kamu mahu membawa Piala itu kepada kami berbanding saya yang bawa kepada mereka? Ia pasti lebih istimewa untuk kamu.”

Begitulah kata-kata Fernandinho kepada Jake menurut dakwaan keluarganya.

Manchester City berjaya membelasah Everton 5-0 dalam perlawanan yang disaksikan secara langsung oleh 10,000 penyokong di Etihad.

Satu lagi impian Jake turut menjadi kenyataan pada hari tersebut dengan beliau sangat mengimpikan untuk melihat Aguero menjaringkan gol dalam aksi perlawanan terakhirnya bersama City.

Remaja berusia 15 tahun itu telah diminta untuk ambil bahagian dalam acara keraian City menjulang Piala bersama Dr Jon Bell, anak kepada legenda kelab, Colin Bell yang telah meninggal dunia pada Januari lalu.

Jake menerima undangan tersebut menerusi satu video khas dari Pep Guardiola menjelang aksi perlawanan bertemu Everton.

“Kamu akan jadi orangnya, kamu akan sampaikan Piala tersebut kepada Fernandinho, sebelum dia menjulang Piala tersebut.”

Janji Pep Guardiola kepada Jake Tindale dalam video tersebut.

Walau bagaimanapun, apa yang Pep sendiri tidak tahu adalah, Fernandinho memberi sesuatu yang lebih bermakna kepada Jake, dengan membawanya bersama ke pentas untuk meraikan detik tersebut bersama para pemain.

Ia merupakan detik yang mungkin tidak akan dilupakan oleh peminat Manchester City itu, dan tidak dilupakan pujian menggunung harus diberikan kepada Fernandinho atas kemuliaan dan budaya indah yang beliau pamerkan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.