Fellaini Mencarut Dan Memaki Pengadil Kerana Membatalkan Gol Kemenangan Jaringannya

Marouane Fellaini telah memaki hamun pengadil perlawanan yang membatalkan gol kemenangan yang dijaringkan olehnya pada minit-minit akhir perlawanan.

Pemain kebangsaan Belgium itu kini sedang beraksi bersama Shandong Luneng dalam saingan Chinese Super League.

Fellaini ketika itu sedang beraksi menentang pasukan Hebei China Fortune, dan beliau berfikir bahawa dirinya sudah berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya ketika permainan sudah hampir untuk tamat.

Seperti yang sering beliau lakukan dalam kariernya, Fellaini melompat tinggi dan menanduk kencang bola menerjah jaring gawang gol lawan.

Dan dalam perlawanan tersebut, selepas menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya, Fellaini melompat kegirangan namun ianya bertukar menjadi kedukaan selepas pengadil meniup wisel membatalkan jaringannya.

Ianya seperti pengadil menganggap bahawa Fellaini telah menolak pertahanan lawan ketika beliau melompat untuk mendapatkan ruang yang baik bagi melepaskan tandukan padu ke arah gawang gol.

Apa yang membuatkan Fellaini bertambah kecewa adalah, selepas gol jaringannya dibatalkan, pengadil sama sekali tidak merujuk dengan VAR untuk menilai semula keputusannya itu.

Selepas beliau jatuh dan menerima rawatan kerana mengalami kekejangan, Fellaini berharap pengadil perlawanan menggunakan masa tersebut untuk merujuk VAR, namun pengadil tidak melakukannya bahkan terus meniupkan wisel penamat.

Fellaini jelas kecewa dan sangat marah dengan keputusan pengadil tersebut. Beliau juga telah menjerit “bullsh*t” dan “f*** off” kepada pengadil untuk melepaskan amarahnya.

Para peminat turut mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan dan menganggap gol jaringan Fellaini tidak sepatutnya dibatalkan.

Kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan leg pertama, pusingan pertama play-off dan akan bertemu semula dalam leg kedua pada Sabtu depan.

Fellaini mula menyertai SD Luneng pada Februari 2019 dari Manchester United dengan yuran perpindahan bernilai €7.2 juta.

Beliau telah menjadi salah seorang pemain paling di gemari dalam saingan Chinese Super League selepas mempamerkan ketajamannya di jentera serangan SD Luneng.

Fellaini berjaya mencipta sejarah tersendiri di sana dengan menjaringkan hat trick dalam tempoh tujuh minit beraksi dan ketiga-tiga gol jaringannya adalah hasil dari tandukan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.