Federico Chiesa Tolak Sertai Manchester United Kerana Lebih Tertarik Sertai Pirlo Di Juventus

Manchester United sekali lagi berputih mata apabila tawaran untuk mendapatkan pemain sayap, Federick Chiesa dari Fiorentina ditolak pemain itu.

Chiesa dilihat oleh Ole Gunnar Solksjaer sebagai alternatif kepada Jadon Sancho yang masih gagal dipancing dari Borussia Dortmund.

Man Utd dikatakan masih berharap untuk memuktamadkan pembelian Sancho sebelum tarikh tutup jendela perpindahan, namun Dortmund tetap tidak berganjak dengan jumlah £108 yang harus dibayar untuk bintang England itu.

Tatkala jendela perpindahan hanya berbaki 5 hari sahaja lagi, United mencari seorang pengganti yang boleh didapatkan secara pinjaman.

Selain daripada tiadanya minat dari Chiesa untuk ke England, Fiorentina juga dilaporkan tidak berminat untuk membenarkan pemain itu pergi secara pinjaman.

Malah pemain berusia 22 tahun itu kini turut dikehendaki oleh Andrea Pirlo di Juventus yang sanggup membida pemain muda itu dengan nilai £45 juta untuk perpindahan secara tetap.

Juventus turut menawarkan Mattia de Sciglio dan Daniele Rugani sebagai pertukaran untuk Chiesa, tetapi satu-satunya pemain yang dimahukan oleh Fiorentina hanyalah Merih Demiral.

Pemain antarabangsa Turki yang turut mencuri perhatian kelab Premier League itu bagaimanapun berstatus bukan untuk dijual oleh kelab Turin itu.

Laporan berbeza dari Sportitalia dan Gazetta dello Sport pula berkata Fiorentina telah menerima cadangan struktur bayaran berbeza untuk Chiesa ke Juventus.

Sejumlah €10-12 juta terlebih dahulu akan dibayar oleh Juventus untuk pemain itu beraksi secara pinjaman bersama mereka, sebelum tambahan €50 juta akan dibayar secara ansuran untuk perpindahan tersebut menjadi tetap.

Kedua-dua kelab kini dilaporkan sedang berbincang mengenai butiran perjanjian tersebut seperti tempoh masa yang diperlukan oleh Juventus untuk menjelaskan keseluruhan nilai €60 untuk Chiesa.

Chiesa turut dipercayai sudah menerima tawaran berjumlah €5 juta setahun, dan sememangnya telah memasang niat untuk beraksi di bawah kendalian Andrea Pirlo.

Pemain antarabangsa Itali itu berulang kali enggan menandatangani kontrak baharu bersama Fiorentina dan kontrak yang ada sekarang akan kekal sehingga 2022.

Untuk mendapatkan Chiesa, Juve turut perlu melepaskan Douglas Costa, Rugani dan De Sciglio. Kelab itu juga dilaporkan sedang berbincang dengan Sami Khedira untuk tujuan penamatan kontrak lebih awal.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.