FAM Turut Potong Gaji Kakitangan Demi Stabilkan Beban Kewangan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini mengambil keputusan untuk memotong gaji kakitangannya jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Mesej yang cuba disampaikan di sini ialah FAM mahu membuktikan kepimpinan melalui teladan agar ianya turut boleh diikuti oleh persatuan dan kelab lain di bawah naungan badan induk itu.

Ini setelah FAM sebelum ini membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) mengadakan perbincangan dengan pemain masing-masing bagi menyelesaikan masalah kewangan susulan pandemik COVID-19.

FAM turut kena tempias

Walau apa pn alasan, FAM turut harus mengaku langkah yang sama diambil badan induk itu adalah kerana turut terkena tempias daripada pandemik COVID-19.

Melalui kenyataan oleh Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu meminta semua kakitangan pentadbiran dan staf teknikal mengambil potongan gaji di antara 10 ke 20 peratus bergantung kepada gaji masing-masing sepanjang tempoh krisis ini.

“Urus setia Agung FAM membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti terhadap impak wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan industri bola sepak tempatan sejurus kita memasuki tempoh kedua PKP selepas 31 Mac lalu.

“Maka, Urus Setiausaha Agung akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan. Ini dipersetujui kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh saat-saat sukar ini.

“Keputusan ini dicapai menerusi rundingan atas semangat musyawarah dengan niat yang murni.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga kerja FAM atas komitmen mereka terhadap organisasi, terutama pada tempoh yang sukar buat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,” kata Stuart pada hari ini.

Melalui kenyataan tersebut Stuart turut menjelaskan pemotongan itu langkah terakhir yang dibuat selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco FAM dan pengurusan atasan selepas wabak COVID-19 memaksa semua saingan bola sepak tempatan ditangguhkan.

Timbulkan pertanyaan

Jika FAM sendiri sudah merasakan tempias COVID-19, timbul tanda tanya mengenai nasib persatuan dan kelab bertanding. Langkah sama turut boleh diambil, namun sampai bilakah persatuan-persatuan ini mampu bertahan?

Beberapa persatuan dan penaja terang-terangan sudah mulai mengeluh kerana impak ekonomi yang terpaksa ditanggung akibat wabak ini.

Kini kedengaran bisik-bisik ada cadangan untuk liga yang baru berusia 4 perlawanan untuk dibatalkan, dan dimulakan semula apabila keadaan sudah pulih sepenuhnya nanti.

Ia hanya sekadar satu cadangan setakat ini, tatkala isu kontrak pemain turut perlu dikaji oleh FAM jdan MFL jika cadangan ini dilaksanakan.

Daripada terus menanggung kerugian atau menjadikan keadaan kewangan yang sememangnya tenat menjadi semakin parah, pembatalan mungkin idea yang lebih baik jika perubahan kontrak boleh dilakukan.

 

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.