FAM Sekat ITC Sumareh, FIFA Mulai Campur Tangan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan telah menyekat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain naturalisasi negara, Mohomadou Sumareh yang dipohon oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Namun ia tidak menghalang Sumareh untuk beraksi di Liga Thai bersama pasukan baharunya, Police Tero FC.

Sebelum ini Sumareh dilaporkan telah menghilangkan diri daripada skuad Pahang dan menamatkan kontrak secara sebelah pihak.

Laporan media menjelaskan tunggakan gaji kepada pemain itu menjadi punca kepada tindakan pemain itu.

Namun demikian, Pahang FA melalui satu kenyataan rasmi menafikan gagal membayar gaji pemain kelahiran Gambia itu.

Melalui laporan Stadium Astro semalam, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata perpindahan itu masih lagi dibenarkan kerana campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), walaupun ITC pemain itu tidak dikeluarkan.

Sumareh dipercayai dibenarkan beraksi bersama Police Tero FC menggunakan pas sementara yang dikeluarkan FIFA.

“FAM telah menolak permintaan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) itu tetapi FA Thailand boleh mengaju dan meminta campur tangan FIFA.

“Di sini (ketika ini), permintaan FA Thailand kepada FIFA telah diluluskan dan pemain, Sumareh, telah menerima ITC sementara,” katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.

Walaupun dengan penglibatan FIFA di dalam kemelut ini, isu-isu lain di peringkat perundangan di dalam negara tetap akan menjadi isu utama.

https://www.facebook.com/websukan/posts/2759568864365438

Pahang FA mendakwa pemain itu telah menghilangkan diri dari latihan pasukan sejak Julai lalu.

Ini mendorong badan itu untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pemain sayap negara itu kerana melanggar kontrak.

“Mengikut artikel 22 (FAM), Pahang masih boleh mengambil ke atas pemain itu, begitu juga dengan pemain — jika (perkara ini) berlaku.

“Dalam kes ini, walaupun ITC dapat dilaksana (diperoleh) tetapi daripada sudut perundangan, Pahang masih boleh mengambil tindakan,” tambah Stuart lagi.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.