Falcao, Lagenda Futsal Yang Gagal Dalam Bola Sepak

Futsal adalah satu permainan bola sepak yang dimainkan pada skala kecil. Setiap pasukan mengandungi lima pemain dan dimainkan selama 30 minit. Futsal ada acara piala dunianya yang tersendiri di mana acara ini dikuasai oleh negara seperti Brazil, Sepanyol dan Portugal.

Ramai pemain bola sepak ternama yang memulakan langkah awal dengan bermain futsal seperti Ronaldinho, Iniesta, Neymar dan Messi. Kebanyakan mereka menjadikan futsal sebagai latihan asas sebelum melompat ke bola sepak padang pada usia belasan tahun.

Futsal terbukti sebagai sukan yang banyak melahirkan bintang bola sepak dunia dengan sembilan daripadanya kemudian berjaya memenangi Ballon D’Or.

Menurut FIFA, Futsal adalah permainan indoor yang paling cepat berkembang di dunia.

Foto – Youtube

Futsal dimainkan oleh hampir seluruh negara samada di gelanggang sebenar ataupun di jalanan. Antara nama besar yang berjaya dalam sukan ini ialah Alessandro Rosa Vieira atau lebih dikenali sebagai Falcao.

Pemain ini bukan sahaja terkenal di kalangan peminatnya, malahan seluruh dunia!

Tarian Falcao di dalam gelanggang begitu memukau dengan skill-skill yang mempesonakan. Beliau berjaya memukau khalayak setiap kali bola berada di kakinya.

Lagenda Futsal

Seperti kebanyakan kanak-kanak di Brazil, Falcao membesar dengan bermain bola sepak di jalanan, tetapi tidak seperti Ronaldinho, Neymar, atau Robinho, Falcao tidak begitu berjaya di dalam bola sepak.

Beliau memulakan kariernya dengan pasukan Guapira di mana persembahannya dalam kejohanan serantau di Sao Paolo berjaya mencuri perhatian.

Kehebatannya dalam kejohanan itu membawa beliau untuk menandatangani kontrak bersama pasukan futsal Corinthians.

Foto – Urbanpitch

Beliau bermain di sana selama lima tahun sebelum berpindah ke GM Chevrolet dan dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Brazil.

Beliau terus mencipta nama dalam futsal apabila berjaya membawa Brazil menjuarai dua piala dunia dan berjaya mendapat anugerah pemain terbaik dunia sebanyak empat kali. Dengan permainan mantap serta helah yang sering memperdaya lawan, Falcao digelar ‘Pele’ di gelanggang futsal.

Kegagalan

Bagaimanapun impian Falcao adalah untuk menjadi pemain bola sepak, beliau berharap untuk mewakili pasukan Santos, pasukan yang disokongnya sejak dari kecil.

Bagaimanapun beliau seringkali gagal dalam pemilihan untuk menjadi pemain bola sepak di Santos.

Beliau bagaimanapun dapat juga menyarung jersi Santos pada tahun 2011 apabila pasukan futsal Santos melamarnya untuk menjadi pemain.

Tetapi kariernya di kelab itu tidak lama kerana pasukan futsal dan pasukan bola sepak wanita Santos terpaksa dibubarkan untuk menampung dana bagi mengekalkan superstar Santos ketika itu, Neymar.

Kejayaan

Pada tahun 2004, Falcao menjadi pemain penting yang membawa skuad futsal Brazil menjuarai piala dunia.

Beliau kemudian dinamakan sebagai pemain terbaik dunia pada tahun itu atas kehebatannya yang memukau.

Beliau menerima hakikat bahawa impiannya untuk menjadi pemain bola sepak professional telah lama terkubur dan meneruskan karier sebagai pemain futsal.

Foto – Youtube

Walaubagaimanapun, pada suatu hari, abangnya mendapat tugas untuk memasang penyaman udara di kediaman presiden pasukan bola sepak Sao Paolo, Marcelo Gouvea.

Abangnya mempelawa Falcao untuk mengikutinya ke rumah tersebut.

Di situ Falcao telah mengambil kesempatan menyampaikan hasratnya kepada Gouvea untuk menjadi pemain bola sepak Sao Paolo.

Falcao yang ketika itu baru sahaja mengharumkan nama negara dan dipuja oleh ramai peminat di Brazil akhirnya dipelawa oleh Gouvea untuk menyertai pasukan Sao Paolo.

Beliau diberikan peluang untuk menjadi pemain bola sepak pada usianya 26 tahun atas kecemerlangannya di dalam futsal.

Bersama Sao Paolo

Falcao menandatangani kontrak selama enam bulan untuk Sao Paolo yang menarik perhatian peminat, media dan seluruh negara.

Malangnya, pengurus Sao Paolo ketika itu, Emerson Leao tidak begitu berminat dengan Falcao.

Leao merujuk kepada kegagalan Falcao melepasi pemilihan untuk pasukan bola sepak Portuguesa dan Palmeiras sebagai alasan utamanya untuk tidak menurunkan Falcao.

Leao juga memberitahu bahawa Gouvea menandatangani Falcao atas tujuan komersial yang boleh menaikkan populariti kelab.

Bagaimanapun Falcao diberi juga peluang untuk membuat debut di dalam perlawanan menentang Ituano pada 20 Januari 2005.

Penyokong ketika itu besorak dan gembira dengan kemasukannya pada babak bedua perlawanan, membuktikan bahawa Falcao ternyata disayangi oleh peminat, walaupun jurulatihnya masih ragu-ragu dengan beliau.

Dalam perlawanan itu Falcao tampil hebat sebagai pemain sayap dan berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Ituano.

Falcao berjaya menbantu pasukannya menewaskan Ituano 4-2 dalam perlawanan itu dan mendapat tepukan gemuruh dari para penonton selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan seterusnya menentang pasukan America, Leao menyenaraikan Falcao sebagai pemain simpanan. Leao didesak oleh para penyokong untuk menurunkan Falcao dan beliau akhirnya tunduk kepada desakan itu setelah pasukannya mendahului perlawanan dengan 2-0.

Tetapi dengan baki permainan yang tinggal sedikit, Falcao mengalami kesukaran untuk menyerlah seperti perlawanan sebelumnya.

‘Gimik marketing’ yang dilakukan oleh kelab mungkin berjaya dengan penyokong kelihatan teruja dengan Falcao tetapi impaknya diatas padang tidak seberapa.

Perlawanan seterusnya menentang Uniao Sao Joao, Falcao tidak disenaraikan langsung sebagai pemain.

Penyokong terpaksa akur dengan pemilihan Leao untuk menurunkan Luizao sebagai pengganti yang lebih baik daripada Falcao.

Impak Yang Gagal

Leao mengatakan bahawa Falcao gagal menarik perhatiannya di dalam latihan yang menyebabkannya terpaksa memilih Luizao. Menurutnya Falcao masih terlalu jauh untuk aksi bola sepak sebenar.

Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan komen dari pemain pertahana Sao Paolo ketika itu, Cicinho,

“Kami cuba untuk membantu Falcao dalam transisinya sebagai pemain bola sepak daripada pemain futsal, beliau adalah seorang pemain yang baik dan sukar untuk dikawal. Tetapi apa yang menyukarkan bagi beliau ialah permainan fizikal. Beliau perlu untuk memantapkan fizikal dan menguatkan badan untuk beradaptasi dalam permainan bola sepak.”

Falcao kemudian membuat beberapa lagi penampilan cameo untuk pasukan Sao Paolo.

Tetapi lama kelamaan laungan penyokong untuk memasukkan beliau sudah tidak lagi kedengaran. Mereka ada perkara yang lebih penting lagi untuk difikirkan menjelang perlawanan getir di dalam liga.

Dalam perlawanan terakhir liga, Falcao diturunkan setelah penyerang utama pasukan, Diego Tardelli mengalami kecederaan.

Beliau bermain selama 45 minit sahaja sebelum digantikan dengan Velber pada separuh masa kedua.

Impian untuk menjadi pemain bola sepak sudah terkubur buat Falcao. Leao kemudian berpindah ke pasukan lain sebelum Falcao mengumumkan untuk kembali ke futsal.

“Saya dipilih sebagai pemain futsal terbaik pada tahun 2004, tapi situasi ini telah mencalarkan imej saya, saya akan kembali bermain futsal.”

Dalam temuramahnya bersama sebuah radio tempatan Falcao menyatakan kekesalan atas sikap Leao kepadanya,

“Beliau buka mulut hanya untuk mengatakan perkara buruk tentang saya.”

Kembali Ke Futsal

Ketika transisinya sebagai pemain bola sepak menemui kegagalan, beliau bagaimanapun terus bersinar di dalam futsal.

Setahun selepas meninggalkan Sao Paolo, Falcao sekali lagi dipilih sebagai pemain futsal terbaik dunia.

https://www.youtube.com/watch?v=HCZEyMW25ZU

Mungkin Alessandro Rosa Vieira tidak akan dikenali sebagai lagenda di dalam bola sepak, tetapi beliau adalah ‘Pele’ di dalam gelanggang futsal.

Seorang lagenda yang mengecap pelbagai kejayaan menerusi skillnya yang luarbiasa dengan kepantasan tipu helah yang menarik.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.