Faktor Bola Ringan Rupanya

Marcus Rashford telah melakukan satu sepakan percuma yang menghasilkan ‘wondergoal’ ketika berhadapan dengan Chelsea.

Gol tersebut dianggap gol tercantik dalam karier Marcus Rashford buat masa ini.

Sebelum sepakan percuma itu, beliau sudah menjaringkan 1 gol menerusi sepakan penalti. Rashford menegaskan beliau lega dapat menyempurnakan penalti itu selepas gagal dalam sepakan dalam perlawanan sebelum ini.

Dan sepakan percuma cantik berkelas dunia, pada separuh masa kedua itu telah memberikan kemenangan berharga kepada Man United dalam pusingan ke-4 Piala Carabao 2019.

Manchester United menang 2-1 ke atas Chelsea dalam aksi tersebut. Jaringan tunggal Chelsea adalah menerusi penyerang antarabangsa Belgium, Michy Bathsuayi.

Kemenangan berharga di Stamford Bridge itu membolehkan Manchester United mara ke pusingan suku akhir.

Seluruh dunia menjadi gila melihat aksi dan kualiti sepakan percuma Rashford itu. Di media sosial, meletus dengan komen netizen yang terus melabel Rashford sebagai Ronaldo Baru.

https://www.youtube.com/watch?v=UkhMNryOUSQ

Malah ramai yang membandingkan teknik knuckleball itu dengan sepakan percuma oleh Cristiano Ronaldo pada satu ketika dahulu.

Pengurus Man United, Ole Gunnar Solskjaer sendiri berkata: “Macam Ronaldo bukan? Dia seorang yang berhati besar. Seorang yang tidak takut mengambil tanggungjawab.”

Penjaga gol Chelsea, Willy Caballero tidak mampu untuk menjangkau mahupun menyelamatkan bola tersebut yang sangat deras.

Bola itu menuju ke sebelah kanan Caballero.

Rashford kemudian memberikan komen beliau kepada gol tersebut. Jujurnya Rashford menyatakan ianya dibantu oleh bola yang digunakan dalam Piala Carabao.

Rashford menyatakan, di pusat latihan mereka menggunakan bola yang sama untuk menghadapi perlawanan Piala Carabao.

Persiapan sangat penting dalam memastikan mereka dapat serasi dengan aspek seperti bola yang digunakan.

Dalam saingan EPL, bola yang digunakan adalah bola Nike. Dan ia berbeza dengan Mitre yang digunakan pada Piala Carabao.

“Jujurnya ianya dibantu oleh bola. Apabila kami berlatih dengan bola ini, dan kami melakukan sepakan setinggi ini. Dan bola itu bergerak seperti turun naik, ia boleh pergi ke mana sahaja.”

“Namun, mujur hari ini ianya menerjah ke penjuru gawang dan gol.”

Rashford kemudian menyatakan Manchester United sudah kembali ke landasan kemenangan. Ianya menuntut banyak kerjar keras daripada semua di dalam pasukan.

Kemenangan ke atas Chelsea merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dicatatkan oleh Manchester United.

Rashford berharap mereka akan meneruskan momentum ini selepas permulaan yang sukar pada awal musim ini.

Sumber: Daily Mail

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.