Everton Pernah Membuang Haaland Kerana Merasakan Beliau Tidak Cukup Bagus

Everton pernah menolak kesempatan untuk menandatangani Erling Haaland selepas pemain muda itu menamatkan empat hari sesi cubaan bersama kelab ketika usia awal remaja.

Mesin pencetak gol Borussia Dortmund itu pernah bermain bersama salah sebuah kelab di Norway, Bryne satu ketika dahulu.

Masa yang sama juga, beliau telah dipanggil untuk menjalani sesi latihan bersama skuad akademi Everton.

Walau bagaimanapun, Ian Atkins (Head Of European Recruitment Everton sehingga 2016) telah menjelaskan kepada Liverpool Echo tentang bagaimana pihak kelab melepaskan peluang untuk menandatangani Haaland.

“Dia (Haaland) pernah sekali dilepaskan oleh Everton.”

Sayang sekali Everton melepaskan seorang penyerang yang kini sudah menjaringkan 18 gol dalam saingan liga Juara-juara ketika berusia baru 20 tahun.

Haaland juga merupakan penyerang berprofil tinggi yang nilainya sekarang boleh mencecah lebih dari £100 juta. Keputusan yang dungu dari Everton.

Namun, Atkins menjelaskan pemilihan pemain sebenarnya dibuat mengikut keputusan dari Brian King, salah seorang pencari bakat untuk Everton yang bersungguh untuk menandatangani Haaland beberapa tahun dahulu.

“Brian King sememangnya sangat teruja tentang budak ini(Haaland).”

Jelas Atkins kepada Liverpool Echo.

“Dia banyak melihat Haaland dan meletakkan penilaian yang tinggi. Dia bawa ke kelab dan berjaya melatihnya selama empat hari bersama skuad akademi. Jadi pihak jurulatih boleh menilai dia dan lihat apa mereka fikirkan.”

“Ini ketika Haaland masih bersama Bryne. Sebelum dia berpindah ke Molde, jadi dia sangat mentah tapi dia sudah ada semua ciri-ciri yang kamu tak akan jumpa pada pemain muda lain.”

“Dia datang selama empat hari dan pihak akademi memutuskan bahawa dia tidak cukup bagus, sesuatu yang Brian King tidak bersetuju langsung. Dia fikir Haaland seorang yang sangat berbakat namun mereka tak berminat.”

“Saya rasa Haaland boleh menyesuaikan diri dengan gaya permainan bola sepak Inggeris.”

Haaland merupakan pemain muda yang mempunyai fizikal yang baik dengan ketinggian 6 kaki 4 inci dengan keinginan untuk menjaringkan gol yang sangat tinggi.

Dia sememangnya sangat sesuai dengan corak permainan bola sepak Inggeris dan tidak mustahil dia akan menjadi bintang lebih besar dari sekarang andai memulakan awal kariernya di England.

Selepas sedih ditolak oleh Everton, Haaland kemudiannya memutuskan untuk menandatangani perjanjian bersama Molde dan bermain di bawah kendalian pengurus United sekarang, Ole Gunnar Solskjaer.

Dia berjaya menjaringkan 20 gol dari 50 perlawanan sebelum melengkapkan perpindahan untuk menyertai Red Bull Salzburg yang mana di situlah bermulanya beliau menjadi bintang handalan dunia.

Seperti yang diperkatakan oleh Atkins, setiap kelab pasti pernah melepaskan seorang pemain berbakat. Kylian Mbappe pernah menjalani sesi percubaan bersama Chelsea ketika di usia 13 tahun sebelum menyertai akademi Monaco.

Paling mengejutkan, legenda United, Roy Keane pernah ditolak oleh Brighton ketika usia kanak-kanak kerana merasakan badannya terlalu kecil.

Haaland sememangnya mempunyai darah Inggeris dengan beliau dilahirkan di Leeds dengan ayahnya juga merupakan legenda dalam saingan premier league.

Everton pasti menggigit jari sekarang melihat kejayaan Haaland seorang lebih bagus dari semua pemain skuad utamanya ketika ini.

Mereka tentunya menyesal melepaskan peluang untuk menandatangani bintang mega seperti Haaland satu ketika dahulu.

Paling penting, tenaga kejurulatihan di akademi kelab pastinya di soal siasat tentang maksud mereka mengapa menganggap Haaland tidak cukup bagus sedangkan sebaik menyertai Molde beliau sudah mempamerkan aksi yang mengagumkan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.