Everton Hilang Khidmat James Rodriguez Akibat Kecederaan Selepas Dibentes Van Dijk

Carlo Ancelotti mendedahkan satu bentesan dari Virgil van Dijk dalam perlawanan derbi Merseyside telah menyebabkan kecederaan James Rodriguez.

Dalam perlawanan pada hujung minggu lalu perlawanan derbi di antara Everton dan Liverpool dibayangi oleh kecederaan yang menimpa pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk selepas diterjah keras oleh Jordan Pickford.

Terjahan tersebut menyebabkan pemain pertahanan terbaik dunia itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-11 oleh pengurus pasukan Jurgen Klopp dan digantikan dengan Joe Gomez.

Rodriguez pula berada di prestasi terbaik sejak menyertai Everton pada jendela perpindahan musim panas lalu dan Ancelotti berkata Everton terpaksa melupakan khidmat pemain itu untuk perlawanan menentang Southampton pada minggu ini.

“Malangnya James sebenarnya mengalamai masalah sepanjang perlawanan (menentang Liverpool),” kata Ancelotti.

“Beliau telah dibentes agak lewat oleh Virgil van Dijk pada awal permainan dan saya berpendapat beliau tidak akan dapat beraksi dalam perlawanan menentang Southampton.”

Selain daripada memaklumkan mengenai keadaan semasa James Rodriguez, Ancelotti turut berkongsi mempertahankan Pickford yang menyebabkan kecederaan ke atas Van Dijk.

Ancelotti menyifatkan penjaga gol England itu sebagai amat sedih dengan insiden dan kecederaan yang menimpa pemain pertahanan terbaik dunia itu.

“Untuk menjelaskan semuanya, kami amat sedih dengan kecederaan yang menimpa Virgil van Dijk,” tambah pengurus dari Itali itu.

“Setiap dari kami berharap beliau segera pulih.

“Ia (kecederaan Van Dijk) adalah disebabkan terjahan dari Jordan Pickford. Ia adalah terjahan yang lambat. Tetapi permainan di Premier League sangat pantas, dan ia tidak menghairankan perkara sebegini boleh berlaku.

“Jordan lambat ketika melakukan terjahan namun niat beliau ialah sentiasa untuk mendapatkan bola. Ia bukan bertujuan menyebabkan Virgil van Dijk cedera.

“Untuk mengatakan ia datang dengan niat (mencederakan), itulah, inilah, pada pendapat saya ia agak keterlaluan.

“Virgil van Dijk mengetahui itu. Jordan sangat sedih, sangat kecewa (kerana Van Dijk tercedera).

“Ia adalah terjahan yang keras, dan juga adalah lambat. Tetapi di dalam bola sepak perkara sebegini boleh jadi bila-bila sahaja.”

Sebelum komen oleh Ancelotti itu pemain tengah Liverpool Georginio Wijnaldum memberikan komen mengenai terjahan oleh Pickford sebelum perlawanan di antara Liverpool dan juga Ajax di pertandingan Champions League.

“Yang ini tidak sama dengan yang normal,” kata Wijnaldum seperti yang dipetik daripada The Mirror.

“Cara ianya berlaku amat sukar untuk kami terima, dan setiap dari kami masih mempunyai perasaan tidak bagus mengenai apa yang telah berlaku.

“Tidak ada di kalangan pemain dapat tidur. Ia sangat sukar untuk diterima dan ia amat sukar untuk pasukan.

“Virgil adalah pemain penting untuk pasukan kami – beliau telah membuktikannya sejak beliau tiba di sini. Beliau adalah seorang pemimpin. Ia terpulang kepada kami untuk terus menampilkan permainan yang baik tanpa Virgil. Kami harus berbuat demikian.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.