EFL Cup 2020: Arsenal 1-4 Manchester City

Manchester City berkunjung ke Emirates Stadium untuk perlawanan peringkat suku akhir saingan EFL Cup bertemu Arsenal.

Pertemuan antara Pep Guardiola dan Mikel Arteta sememangnya pertembungan yang sangat menarik untuk ditonton.

Arsenal mara ke peringkat suku akhir selepas sebelum ini mereka berjaya menewaskan Liverpool hasil dari penentuan sepakan penalti.

Manakala Manchester City pula berjaya menyingkirkan Burnley dari pertandingan ini selepas membenam mereka 3-0 sebelum ini.

Perlawanan bermula dengan City dilihat lebih banyak mengatur gerakan dan melancarkan serangan berbahaya ke arah kubu Arsenal.

Hasilnya The Citizens berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 perlawanan menerusi tandukan padu dari Gabriel Jesus.

Jesus menanduk cantik bola hantaran silang dari Oleksndr Zinchenko dari sudut sebelah kanan padang untuk meletakkan City 1-0 di hadapan.

Kedua-dua pasukan kemudiannya saling berbalas serangan, namun City jelas lebih dominan dan lebih banyak lancarkan percubaan berbahaya.

Pada minit ke-31, Arsenal berjaya peroleh gol penyamaan hasil jaringan dari Alexandre Lacazette yang menanduk masuk bola hantaran dari Gabriel Martinelli.

Tamat babak pertama permainan, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.

City memulakan aksi babak kedua dengan lebih banyak menekan barisan pertahanan Arsenal dan hasilnya mereka dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di hadapan kotak penalti pada minit ke-54.

Riyad Mahrez melepaskan rembatan padu yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Arsenal, Runar Alex Runarsson.

Lima minit kemudian, City menambah lagi duka Arsenal dengan berjaya memperoleh gol ketiga mereka dalam perlawanan ini hasil tindakan bijak dari Phil Foden.

Fernandinho melorongkan bola yang cantik dan kemas yang menemui Phil Foden, dan pemain muda England itu melakukan rembatan terus untuk merobek gawang Arsenal buat kali ke tiga dalam perlawanan ini.

Arsenal kemudiannya berjaya peroleh rentak permainan mereka dengan melancarkan beberapa siri serangan dan mereka dilihat lebih dominan.

Namun, pada minit ke-73 permainan, Manchester City berjaya memperoleh gol keempat seterusnya gol kemenangan mereka menerusi Aymeric Laporte.

Phil Foden mengawal bola dengan baik di sudut tepi padang sebelum menghantar bola masuk ke kotak penalti dan kemudian ditanduk cantik oleh Laporte untuk gol kemenangan City.

Kemenangan 4-1 menewaskan Arsenal membawa City mara ke peringkat separuh akhir dan mereka akan bertemu dengan Brentford.

Empat lagi perlawanan yang akan dilangsungkan esok adalah perlawanan yang akan menemukan Everton bertemu Manchester United dan Stock City akan bertemu dengan Tottenham Hotspur.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.