Edinson Cavani Sibuk Berlatih Ballet Menjelang Perpindahan Ke Manchester United

Edinson Cavani tidak lari dari kesibukan harian selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan kasut but buat sementara dan menyarung kasut ballet.

Penyerang berusia 33 tahun dari Urguay itu menjadi ejen bebas selepas tidak menyambung kontrak dengan juara Ligue 1 Perancis itu.

Pemain tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Benfica dan Atletico Madrid pada musim panas ini.

Dan kini penyerang veteran itu dikhabarkan akan beraksi bersama Manchester United dan akan melengkapkan perpindahan ke Old Trafford sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada hari ini.

Walaupun tidak memakai kasut but dan berlatih seperti kebanyakkan pemain lain, Cavani memilih untuk mengekalkan tahap kecergasannya dengan belajar tarian ballet.

Untuk itu, Cavani harus memakai pakaian ketat sesuai dengan tarian tersebut dan menghabiskan kebanyakkan masa di Pusat Ballet Kebangsaan di Uruguay.

Cavani mengakui beliau mahu menghentikan stigma bahawa lelaki tidak menari ballet, dan mahu melihat lelaki atau perempuan bebas untuk melakukan apa yang membuat mereka gembira dan minati.

“Saya tidak bersependapat dengan mereka yang berkata semua budak lelaki harus bermain bola sepak,” kata pemain bertubuh sasa itu.

“Saya percaya baik anak gadis mahu pun laki-laki harus bebas untuk mecari kebahagiaan masing-masing dalam apa pun bidang yang mereka minati. Inilah caranya anda membentuk seorang individu yang terlatih dengan baik, dan sentiasa membangun dalam persekitaran dan struktur yang betul.”

Cavani berkata pengalaman untuk berlatih bersama penari profesional di pusat latihan sebagai sesuatu yang mengkagumkan dan ia membuatkan beliau sentiasa teruja selepas menyaksikan tarian itu sendiri.

“Pengalaman tersebut sangat hebat. Penari-penari menjelaskan kepada saya bagaimana untuk melakukan langkah dalam tarian dan apabila saya melihat bagimana mereka melakukannya, saya terus berminat! Ini kerana tarian adalah sesuatu yang sangat indah.

“Pasangan hidup saya adalah seorang yang amat meminati tarian. Disebabkan itu ketika kami berada di Paris, kami menyaksikan persembahan ballet dan kami melalui masa yang hebat dan seronok menyaksikannya.”

Manchester United dilaporkan telah menawarkan kontrak selama dua tahun untuk Cavani dengan pendapatan berjumlah £174,000 seminggu.

Pemain antarabangsa Uruguay ini menjadi pemain kedua dari negara tersebut yang pernah menyarung jersi Manchester United setelah Diego Forlan.

Kami yakin penyokong-penyokong Manchester United teruja menunggu pengumuman dari pihak kelab untuk pengesahan ketibaan Cavani di Old Trafford.

Sekarang anda bayangkan pula setiap jaringan yang dihasilkan pemain ini diraikan dengan tarian ballet. Pasti menarik.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.