Walaupun dituduh menciplak hasil rekaan logo sebuah syarikat yang berpengkalan di Australia, pasukan Liga Super Malaysia, Melaka United tetap bertekad untuk mendaftarkan logo tersebut agar boleh digunakan oleh pasukan itu.
Melaka United sebelum ini memperkenalkan logo baharu pasukan, dalam usaha merancakkan persedian bagi pertukaran status ke kelab bola sepak (FC) dan penswastaan pasukan musim depan.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali yang hadir pada majlis pelancaran logo baharu itu diharap mampu menyuntik kemegahan dan kejayaan kepada kelab itu, serta bola sepak Melaka pada masa akan datang.
Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) berkata, ini merupakan tahun terakhir pasukan Melaka United diuruskan oleh pihak MUSA, sebelum diswastakan sebagai sebuah kelab bola sepak.
Bagaimanapun logo tersebut mendapat kritikan ramai kerana ia seolah-olah meniru logo sebuah syarikat pegeluar produk makanan sihat dan protein, Bare Blends yang berpengkalan di Australia.
Logo Baru Kelab Melaka United FC ‘Kantoi’ Diubahsuai, Logo Asal Milik Syarikat Bare Blends Dari Australia? https://t.co/QaG2VDgOjA
— VOCKET FC (@vocketfc) August 22, 2020
Laporan mengenai persamaan logo tersebut pertama kali didedahkan oleh portal bola sepak terkemuka negara, Vocket FC.
Menurut Sulaiman berdasarkan semakan, logo tersebut belum lagi dipatenkan oleh mana-mana pihak di negara ini.
“Pemilihan logo baharu Melaka United adalah berdasarkan lambang pokok Melaka yang dibuat sebagai simbol penyatuan peminat dan penyokong setia bola sepak Melaka, yang menjadi kekuatan pasukan selama ini.
“Oleh itu, MUSA akan memohon untuk mendaftarkan hak cipta logo baharu itu dan hanya selepas ia diluluskan, barulah ia diguna pakai,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Bernama sebelum ini melaporkan logo baharu itu direka oleh penyokong Melaka United Mohd Asri Ab Aziz, berasal dari Sungai Siput, Lubok China, Alor Gajah yang terpilih daripada hampir 100 penyertaan dalam Pertandingan Mencipta Logo Melaka United, yang berlangsung dari 4 hingga 20 Ogos lepas.
MUSA akan pastikan Melaka United dapat guna logo baharunya secara sah https://t.co/W4uuPHdqMW
— BERNAMA (@bernamadotcom) August 24, 2020
Logo yang dilancarkan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menampilkan rekaan bulat dengan mengekalkan identiti pokok Melaka, beserta gabungan ciri-ciri logo bola sepak Melaka dari dahulu hingga kini, yang penuh dengan keunikan sejarahnya.
Ikon manusia yang terdapat pada pokok itu melambangkan rakyat Melaka yang bersatu padu dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada sukan di negeri ini, dengan warna-warna hijau dan putih dikekalkan sebagai warna rasmi Melaka United.