Disangka Ke JDT, Sumareh Rupanya Dipancing Selangor, Ini Butiran Didedahkan TMJ

Sebelum ini kehilangan pemain naturalisasi negara, Mohamadao Sumareh dari skuad Pahang  telah mencetuskan banyak tanda tanya.

Pemain itu kemudiannya tiba-tiba menyertai Police Tero FC yang bersaing di Liga 1 Thai.

Khabar angin serta perkongsian dari media sosial menyatakan tindakan pemain itu adalah disebabkan Pahang gagal membayar penuh gaji pemain sayap negara itu – perkara yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).

Beberapa laporan akhbar kemudiannya berkata pemergian Sumareh  ke Thailand bukan satu kebetulan.

Dijangka ke JDT

Malah terdapat dakwaan menyatakan Police Tero FC hanya destinasi sementara pemain itu, sebelum Sumareh diatur untuk menyertai pasukan tertentu di saingan Liga Malaysia.

“Saya tidak mahu menunding jari, tetapi ini mungkin satu strategi yang rapi,” kata bekas pemain negara, Khalid Ali kepada BERNAMA.

“Ini cara beliau beralih ke pasukan lain, kita panggil ‘cooling period‘. Perpindahan beliau ke Thailand bersifat sementara dan selepas tamat tempoh bertenang itu, beliau akan kembali bermain dengan pasukan diidami.

“Kemungkinan ini bukan perancangan Sumareh, tetapi ia adalah satu taktik untuk beliau (Sumareh) dapat bermain dengan pasukan, yang mungkin telah berunding dengannya,” tambah bintang era 80-an itu.

Kami tidak mahu berselindung dan mengaku ramai yang berpendapat Sumareh bakal akan ke JDT selepas tempoh pemain itu bersama Police Tero FC tamat.

Ini adalah berdasarkan beberapa andaian seperti Sumareh semestinya mahu mengikut jejak langkah sahabat baiknya, Matthew Davies yang memilih untuk menyertai pasukan dari selatan tanah air itu.

JDT juga berkemungkinan sedang mencari pengganti kepada Safawi Rasid yang dikatakan akan ke Portugal untuk menyertai Portimonense SC.

Namun demikian segala jangkaan dan ramalan awal rata-rata pemerhati bola sepak tempatan nyata salah.

Pendedahan TMJ

Dalam satu perkongsian di Instagram petang semalam, pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan destinasi sebenar Sumareh selepas meninggalkan Pahang.

Tiga perbualan melalui aplikasi WhatsApp dengan tiga individu berbeza dari Persatuan Bola Sepak Selangor turut didedahkan bersama dengan butiran kontrak yang ditawarkan kepada pemain kelahiran Gambia itu.

Perbualan pertama adalah diantara Pengurus Selangor, dipercayai Mahfizul Rusydin jika tangkap layar yang dikongsi itu adalah benar.

Dalam perbualan bersama Sumareh itu, Mahfizul berkata pihak mereka (FAS) sudi untuk berbincang lebih lanjut mengenai hal kontrak, asalkan Sumareh gembira.

Tangkap layar kedua pula mendedahkan perbualan Suamreh bersama Pengarah Teknikal Selangor dari Jerman, Michael Feichteinberner yang secara terus terang berkata mahukan Suamreh di dalam skuad Red Giants pada musim akan datang.

Malah Feichteinberner berjanji akan menjadikan Sumareh sebagai penyerang terbaik di negara ini sekiranya memilih untuk menyertai Selangor.

Kata-kata dari Michael Feichteinberner itu turut mendapat maklum balas dari Sumareh yang suka akan cara permainan bakal diterapkan oleh jurulatih dari Jerman itu, dan akan terus berhubung dengan pengurusan FAS untuk urusan kontrak.

Perbualan ketiga pula membabitkan perbualan di antara Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Hamidon dengan Sumareh mengenai kontrak yang akan ditandatangan.

Kontrak Sumareh

Berdasarkan pendedahan oleh TMJ juga, FAS telah menawarkan kontrak berjumlah RM70,482.00 sebulan beserta bayaran bonus sebanyak RM4146.00 untuk setiap kemenangan di dalam kesebelasan utama, dan RM3109.50 jika diturunkan sebagai pemain simpanan dan menang.

Sumareh turut ditawarkan beberapa insentif dan kemudahan lain seperti kos perubatan tidak melebihi RM1,500 sebulan, elaun kenderaan sebanyak RM1,000 sebulan.

Lebih menarik, kontrak FAS untuk Sumareh turut mengandungi klausa pelepasan berjumlah RM3 juta sekiranya mana-mana pasukan mahu mendapatkan khidmat pemain itu.

Kontrak tersebut berdurasi 2 tahun.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.