Dijatuhkan Hukuman 21 Bulan Penjara, Maguire Digugurkan Dari Skuad England

Kapten Manchester United Harry Maguire telah digugurkan dari skuad kendalian Gareth Southgate selepas dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah di Syros, Greece.

Pemain pertahanan berusia 27 tahun itu sememangnya berada di dalam senarai awal Southgate ketika perbicaraan pemain itu sedang diadakan.

Maguire didapati bersalah atas dakwaan melakukan serangan, enggan memberi kerjasama dan berkasar dengan polis, dan berulang kali cuba memberikan rasuah.

Southagate dalam kenyataannya pada hari ini berkata menggugurkan Maguire adalah langkah terbaik untuk semua pihak.

Pemain itu dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan dan 10 hari, yang ditangguhkan selama tiga tahun selepas terlibat dengan pergaduhan di Mykonos.

Selepas hukuman tersebut dijatuhkan, Maguire tetap tidak mengaku bersalah dan pantas mengarahkan peguam-peguamnya untuk melakukan rayuan.

“Saya kekal tegas dan yakin bahawa kami tidak bersalah dalam hal ini – yang hanya menjadikan saya, keluarga dan rakan-rakan sebagai mangsa,” ujar Maguire.

Menjelang perlawanan Nations League menentang Iceland dan Denmark pada bulan hadapan, Southgate juga berkata beliau sudah menemui Maguire dan tidak meragui pemain itu.

“Harry kesal kerana menyebabkan tumpuan tidak sepatutnya kepada pasukan – beliau memohon maaf untuk itu – dan mempunyai cerita dari pihak beliau sendiri,” tambah Southgate.

“Dalam situasi ini, kita hanya boleh membuat keputusan berdasarkankan keadaan semasa. Jika fakta kes berubah, maka saya akan melihat kembali keputusan tersebut.”

Harry Maguire ditahan di pulau pelancongan di Greece, Mykonos kerana didakwa menyerang dan mengasari pegawai polis.

Walaupun didapati bersalah dan digugurkan dari skuad England, pemain itu difahamkan akan mengekalkan lilitan kapten pasukan Manchester United pada musim hadapan.

Malah Manchester United tidak bercadang melucutkan jawatan kapten Maguire buat masa ini.

Seorang pegawai polis di Syros, mengesahkan suspek kejadian berkenaan membabitkan tiga lelaki Britain termasuk salah seorang darinya adalah pemain bola sepak namun tidak menyebut nama Maguire.

Menurut pegawai polis berkenaan, empat anggota polis Mykonos mengalami kecederaan ringan selepas pergelutan itu.

Suspek juga dituduh menentang penangkapan, menghina dan mengugut secara lisan pegawai yang menahan mereka.

Pegawai polis itu berkata, polis Mykonos dihubungi untuk meredakan pergaduhan membabitkan dua kumpulan sebelum itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.