Digne Dikecam Teruk Oleh Peminat Liverpool Yang Tidak Senang Dengan Gurauannya

Pemain full-back Everton, Lucas Digne telah dikecam teruk oleh peminat selepas pertahanan Perancis itu bergurau tentang insiden kad merah yang diterima oleh Richarlison dalam perlawanan merseyside derby kemarin.

Terdapat banyak insiden penuh kontroversi dalam perlawanan tersebut. Virgil Van Dijk terpaksa dikeluarkan oleh Jurgen Klopp selepas pertahanan Belanda itu mengalami kecederaan ekoran dari insiden dibentes oleh Jordan Pickford.

Di minit akhir perlawanan pula timbul isu kontroversi lain, yang mana gol kemenangan untuk Liverpool jaringan dari Jordan Henderson telah dibatalkan oleh VAR dan insiden tersebut juga menjadi antara isu kontroversi dalam perlawanan derby tersebut.

Perlawanan untuk saingan liga itu berkesudahan dengan keputusan 2-2, namun untuk kebanyakkan pihak, terdapat banyak isu yang menjadi topik perbualan hangat selepas perlawanan tamat.

Ianya termasuk dengan beberapa insiden bentesan yang berbahaya terutama insiden Richarlison yang melakukan terjahan keras ke atas pemain midfield Liverpool, Thiago Alcantara.

Thiago Alcantara bernasib baik dapat meneruskan perlawanan hingga ke wisel penamat, namun beliau telah dikejarkan ke hospital selepas tamat perlawanan dan kecederaan yang dialaminya juga agak teruk.

Ketika insiden itu terjadi, kedua-dua pemain sedang meluru ke arah bola namun Richarlison telah melakukan terjahan yang keras mengenai lutut Thiago.

Pengadil perlawanan, Michael Oliver tiada pilihan lain ketika itu dan telah membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada bintang Brazil itu.

Selepas tamat perlawanan tersebut, Richarlison telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemain midfield Liverpool itu dan mengeluarkan kenyataan di laman web rasminya tentang situasi yang terjadi ketika insiden tersebut.

“Semua orang yang mengenali latar belakang saya pasti tahu saya tidak pernah menjadi seorang pemain yang kejam.”

“Saya tidak masuk ke situasi itu untuk mencederakan Thiago. Ketika saya merasakan pertembungan akan berlaku, saya mengangkat kaki saya dan melanggar dia dengan menggunakan lutut sambil berlalu, ianya tidak dapat dielakkan kerana kelajuan saya ketika itu.”

“Saya sudah mengirim pesanan meminta maaf kepadanya dan saya juga melakukannya disini secara terbuka. Saya harap dia tidak cedera teruk dan semuanya baik-baik saja.”

Richarlison memang sudah melakukan permohonan maaf secara terbuka, namun ramai peminat Liverpool yang marah selepas beliau memadam gambar yang menunjukkan kejadian ketika beliau melanggar lutut Thiago itu dengan meletakkan emoji seperti beliau berpuas hati dengan tindakannya.

Dan kini, dua hari selepas perlawanan merseyside derby, para peminat sekali lagi berasa kecewa dan marah dengan seorang lagi bintang Everton yang memilih untuk menjadikan insiden tersebut sebagai bahan jenaka.

Lucas Digne memuat naik gambar di Instagram dengan menulis:

“Saya cuba melakukan yang terbaik Pai @richarlison.”

Pemain berusia 27 tahun itu memuat naik gambar yang memperlihatkan beliau sedang cuba untuk mengambil kad merah di belakang poket Michael Oliver dengan ketika itu pengadil sedang menunggu Richarlison untuk bangun dan melayangkan kad merah kepadanya.

Kononnya beliau bergurau dengan Richarlison seolah-olah dirinya cuba untuk merampas kad merah tersebut supaya pengadil tidak melayangkan kad merah kepada rakan sepasukannya itu.

Para peminat Liverpool merasakan bahawa Digne tidak sepatutnya menjadikan insiden tersebut sebagai bahan gurauan kerana ianya melibatkan masa depan dan karier seseorang pemain.

Terjahan yang dilakukan oleh Richarlison sebenarnya boleh menyebabkan Thiago tidak boleh bermain bola sepak lagi dan ianya benar-benar berbahaya.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.