Digantung 2 Tahun, Syahir & Zulkifli Minta Maaf Dan Mahu Kemuka Rayuan

2 bekas tekong kebangsaan yang dijatuhi hukuman gantung 2 tahun dan kerja amal 30 jam oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) iaitu Muhammad Zulkifli Abd Razak dan Mohd Syahir Rosdi sedia untuk membuat rayuan kepada PSM.

Mereka berharap hukuman yang dikenakan ke atas mereka dapat dikurangkan.

Kedua-dua pemain pernah membantu Malaysia menamatkan kemarau 24 tahun kilauan pingat emas di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir di Hiroshima pada 1994.

PSM telah menjatuhkan hukuman gantung 2 tahun ke atas kedua-dua mereka. Dan hukuman itu berkuat kuasa 27 Jun yang lalu kerana masalah disiplin.

Hukuman gantung itu akan membuatkan Syahir dan Zulkifli dilarang untuk terlibat ataupun bermain pertandingan sepaktakraw di dalam dan di luar negara.

Seterusnya, mereka juga diarahkan melakukan khidmat khas dalam membantu pembangunan sepaktakraw negara. Ianya perlu dilakukan dalam masa 30 jam.

Syahir dan Zulkifli sebelum ini disingkirkan dari skuad kebangsaan kerana masalah disiplin. Namun begitu, mereka berdua menafikan salah laku tersebut.

Dan kemudiannya, kedua-dua pemain tersebut mengumumkan persaraan dari dunia sepaktakraw profesional.

Bercakap kepada Astro Arena Syahir berkata: “Kami nak bermain untuk Malaysia, mengharumkan nama negara.

“Tetapi pengurusan buat sesuka hati, buang pemain tanpa sebab. Elaun kami dipotong separuh, jadi saya fikir tidak main sepaktakraw pun tidak mengapa, mereka (PSM) boleh ambil duit elaun itu,” kata Syahir.

Menurut Zulkifli pula,” Kami sudah minta dilepaskan dengan cara baik tetapi dituduh pula terlibat dengan masalah disiplin. “Kami tidak akan berbunyi kalau dilepaskan dengan cara baik.”

Kedua-dua mereka kemudian menganggap tindakan PSM mengenakan pertuduhan tidak berdisiplin sebagai keterlaluan. Bercakap kepada Metro, Zulkifli berkata: “Apa yang saya mendapat tahu, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengadakan mesyuarat malam tadi dan membuat keputusan mengejut mengugurkan kedua-duanya.

“Alasan yang diberikan adalah berkaitan dengan disiplin. Mungkin membabitkan kehadiran semasa latihan selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.”

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata: “Jawatankuasa Tatatertib PSM bersidang pada 12 Oktober dengan keputusan diangkat dan dibincangkan pada mesyuarat EXCO pada 13 Oktober pada jam 3 petang dengan keputusan sebulat suara diambil.”

Minta maaf dan sedia kemuka rayuan

Syahir mahu menggunakan sebaik-baiknya tempoh rayuan dan akan mengemukakan rayuan mereka kepada PSM.

Kedua-dua mereka juga masih membuka pintu untuk terus mewakili pasukan kebangsaan di masa akan datang, sebaik sahaja penggantungan itu tamat.

Bercakap kepada Harian Metro, Syahir berkata: “Saya reda saja dengan keputusan ini. Saya tidak pernah kena hukuman seperti ini, tapi kalau diarah sebegitu saya akan buat. Pada mulanya, saya tahu perkara ini daripada laporan media. Hari ini, saya sudah menerima surat berkenaan dan akan membuat rayuan dalam tempoh terdekat,” katanya.”

Ketika ditemui oleh wartawan Nadi Arena, Syahir berkata: “Situasi datang daripada hati saya, memang saya minta maaf sebagai pemain. Sama ada benar ataupun tidak, saya dan Sobey (Zulkifli), kena minta maaf, kerana benda tu dah melanggar peraturan sebagai atlet.”

 

Pencapaian terbaik kedua-dua pemain ini ialah menamatkan kemarau 24 tahun kilauan pingat emas di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir di Hiroshima pada 1994.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.