Di Maria Terpaksa Dikeluarkan Ketika Sedang Beraksi Kerana Rumahnya Dimasuki Perompak Ganas

Paris Saint Germain dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Nantes dalam aksi saingan Ligue 1, seterusnya merencatkan usaha mereka untuk memintas Lille yang kini berada di puncak saingan liga.

Nantes yang kini berada di kedudukan dasar liga berjaya melakukan aksi comeback selepas ketinggalan 1-0 untuk memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 2-1 di Parc des Princes.

Selain kekalahan mengejut, kem PSG turut dikejutkan dengan berita yang tidak begitu sedap di dengari daripada keluarga Angel Di Maria.

Pemain kebangsaan Argentina itu dikeluarkan pada minit ke-60 permainan selepas pengurus pasukan diberitahu tentang kejadian yang sedang berlaku di rumah pemainnya itu.

Angel Di Maria dipanggil untuk meninggalkan padang dengan digantikan dengan Leandro Paredes dan beliau seolah bingung dengan keputusan Pochettino yang mengeluarkannya itu.

Pochettino kemudian mengiringi Di Maria melalui terowong sambil memberitahu pemainnya itu tentang mengapa beliau dikeluarkan lebih awal dengan kedudukan ketika itu terikat 1-1.

Gol pertama PSG dijaringkan oleh Julian Draxler pada minit ke-42 permainan sebelum Randal Kolo menyamakan kedudukan tiga minit sebelum Di Maria dikeluarkan.

Pegawai perlawanan dilihat bercakap dengan pengarah sukan PSG, Leonardo dan kemudian memberitahu Pochettino supaya mengeluarkan Di Maria dengan segera.

Di Maria jelas terkejut selepas diberitahu bahawa rumahnya dimasuki perompak.

Bekas bintang Manchester United itu juga dilaporkan menangis ketika meninggalkan stadium kerana mengatahui bahawa rumahnya dimasuki perompak yang sangat ganas.

Pochettino selepas menemani Di Maria meninggalkan padang kemudiannya kembali ke tepi padang untuk meneruskan tugasannya.

PSG kemudiannya dikejutkan dengan gol kemenangan dari pasukan pelawat hasil jaringan dari Moses Simon seterusnya menyebabkan mereka hilang tiga mata penuh di halaman sendiri.

Kejadian seperti ini bukanlah pertama kali berlaku kepada para pemain PSG. Dalam tempoh kurang dua tahun ini sahaja, sudah empat kejadian serupa berlaku.

Tiga kejadian sebelum ini melibatkan keluarga Sergio Rico, Thiago Silva dan Eric Maxim Choupo Moting.

Keadaan ini benar-benar mengundang kemarahan para peminat yang menganggap tahap keselamatan para pemain berada dalam keadaan yang sangat bahaya dan bimbang akan berlaku hal yang tidak diingini pula.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.