DFB Mahu Jumpa Ozil, Pujuk Semula Sertai Skuad Kebangsaan Jerman

Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) telah menghubungi Mesut Ozil untuk mengadakan satu perjumpaan bersama pemain itu dalam usaha memujuk bintang Arsenal yang terseisih tersebut kembali menganggotai skuad kebangsaan.

Pemenang Piala Dunia 2014 itu menamatkan karier antarabangsanya bersama selepas Jerman dikejutkan dan tersingkir awal dari kejohanan tersebut pada 2018.

Ozil mengumumkan persaraannya di Twitter, berikutan keadaan yang didakwa oleh dirinya sendiri -telah menjadi mangsa diskriminasi berikutan kontroversi gambar beliau bersama Presiden Turkin, Recep Tayyip Erdogan.

“Layanan yang saya terima dari DFB dan ramai lagi membuatkan saya tidak lagi berminat menyarung jersi Jerman,” kata Ozil pada ketika itu.

“Saya merasakan diri tidak diperlukan dan berpendapat apa yang telah saya capai bersama skuad kebangsaan sejak penampilan pertama pada 2009 telah dilupakan.”

Ozil adalah penerima anugerah Pemain Terbaik Jerman sebanyak lima kali, turut menyerlar Presiden DFB pada ketika itu, Reinhard Grindel sebagai rasis.

“Saya tidak mahu lagi jadi kambing hitam kerana kepentingan dan ketidakupayaan beliau melakukan tugas dengan baik,” ujar Ozil mengenai Grindel.

Namun kini pengganti Grinel, Fritz Keller tidak teragak-agak kembali menghubungi Ozil untuk memperbaiki hubungan Ozil dengan DFB.

“Kami telah dimaklumkan bahawa tuan presiden sudah menghubungi Mesut,” ujar Pengarah DFB Oliver Bierhoff kepada Bild.

“Jika pertemuan berjaya diadakan, dan setiap orang boleh duduk bersama, kami sudah amat gembira. Saya ada menghubungi Mesut ketika harijadinya, dan dia membalas dengan baik.”

Keller dipercayai telah menghubungi Ozil selepas Jerman seri 3-3 dengan Turki dalam satu perlawanan persahabatan pada Oktober lalu.

Ozil baru-baru ini mengesahkan telah menerima tawaran dari Keller melalui Twitter, dan beliau menghargai maklum balas tersebut.

“Sudah tentu saya mempunyai banyak kenangan bersama skuad kebangsaan – kami memenangi Piala Dunia di Brazil dan sebahagian daripada era terhebat bola sepak Jerman,” tulis Ozil.

“Saya tidak akan berkata menyesal bermain untuk Jerman. Banyak yang diperkatakan bagaimana ia berakhir, tetapi saya tidak menyesalinya.

“Di dalam kehidupan anda harus terus melangkah ke hadapan. Saya berterima kasih kerana menerima surat secara peribadi dari Presiden DFB, Fritz Keller, yang menggariskan isu semasa pada ketika itu.”

Secara keseluruhan Ozil beraksi 92 kali untuk Jerman, menjaringkan 23 gol sepanjang tempoh 9 tahun karier di pentas antarabangsa.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.