Demi Persahabatan, 2 Atlet Jepun Ini Memotong Pingat Olimpik Mereka

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Sukan Olimpik Berlin 1936 dianggap yang paling hipokrit dan senyuman yang diberikan adalah untuk menutup kebencian. Namun kisah persahabatan di dalam olimpik tidak akan hilang.

Jesse Owens menerima tips daripada atlet Jerman, Lutz Long yang mewakili Jerman-Nazi. Sedangkan ketika itu semangat perkauman sangat kuat.

Lutz masih membantu atlet Amerika-Afrika itu memperbaiki lompatan beliau untuk mengelakkan foul dan akhirnya Jesse Owens menang emas dan Lutz mendapat pingat perak.

Dalam acara lompat bergalah, ada kisah tersendiri yang dianggap sebagai salah satu kisah persahabatan terindah di gelanggang olimpik.

Persaingan Nishida – Oe

Dalam acara yang disaksikan oleh 25,000 penonton itu, berlangsungnya acara akhir. Dan semua peserta perlu melepasi ketinggian 4.25 meter untuk mara ke fasa seterusnya.

Bill Graber dari USA, atlet pertama yang tersingkir daripada ketinggian ini. Kemudian, seorang lagi atlet USA, Earle Meadows tampil dan melepasi ketinggian itu.

Kini tinggal 3 peserta yang akan berebut pingat. Earl Meadows dan 2 lagi peserta Jepun iaitu Shuhei Nishida dan Sueo Oe. Mereka bertiga sudah melepasi ketinggian 4.25 meter dan kini dalam percubaan melepasi 4.35 meter.

Meadows melepasi lompatan 4.35 meter dengan baik. Sebaliknya Nishida dan Oe gagal untuk melepasi ketinggian tersebut. Ini bermakna pingat emas dimiliki oleh Meadows.

Meadows cuba melakukan lompatan 4.45 meter, tetapi Meadows gagal melepasinya. Kini tinggal persaingan di antara Shuhei Nishida dan Sueo Oe.

Mereka berdua adalah sahabat baik. Mereka juga merupakan pelajar Universiti. Nishida belajar di Universiti Waseda. Manakala Sueo Oe pula menuntut di Universiti Keio.

Kedua-dua atlet muda daripada Jepun ini telah gagal dalam ketinggian 4.35 meter. Dan mulanya mereka meminta agar perak dikongsi oleh kedua-dua mereka. Tetapi pihak penganjur menolak permintaan itu.

Hal ini kerana hanya ada seorang sahaja yang berhak mendapat perak dan seorang lagi akan mendapat gangsa. Setelah diteliti, Sueo Oe diberikan pingat perak kerana dia melepasi ketinggian 4.25 meter sebelum itu hanya dalam percubaan pertama.

Manakala Nishida pula melepasi ketinggian itu pada percubaan kedua. Jadi, Oe diberikan pingat perak dan majlis penyampaian pingat berlangsung seperti biasa.

Pingat Persabahatan

Sekembalinya ke Jepun, apa yang dilakukan oleh Oe dan Nishida amat mengejutkan. Oe masih tak berpuas hati kerana beliau berpenadapat mereka sepatutnya berkongsi pingat perak tersebut.

Lalu mereka memotong pingat perak tersebut kepada 2 bahagian. Pingat gangsa Nishida juga dipotong separuh. Setiap seorang menyimpan separuh perak dan separuh ganggsa yang dicantum. Mereka menggelarkannya pingat persahabatan.

Kisah itu pada awalnya tidak diketahui umum ketika itu. Hanya Nishida dan Oe sahaja yang tahu dan mereka menyimpannya secara peribadi.

Namun begitu, pada 1941, Nishida meninggal dunia ketika perang dunia ke-2. Oe yang masih hidup masih menyimpan bahagian pingat beliau. Pada ketika itulah baru orang tahu akan kisah pingat tersebut.

Pingat olimpik tersebut telah menjadi saksi persahabatan mereka di lapangan olimpik walaupun mereka bersaing sesama sendiri.

Pada 2006, waris daripada keluarga Nishida telah bermurah hati untuk menyerahkan pingat tersebut kepada Universiti Waseda untuk menjadi tatapan umum di galeri pameran mereka.

Itulah kisah Nishida dan Oe yang popular di seluruh dunia. Walaupun Olimpik hanya mengiktiraf seorang pemenang perak dan seorang pemenang gangsa. Mereka pula mengiktiraf sesama sendiri dengan gelaran pemenang perak dan gangsa secara separuh.

Kisah persahabatan yang menarik!


SHARE ()