De Jong Dedah Messi Masih Ada Dalam ‘Whatsapp Group’ Barca

Frenkie de Jong telah mendedahkan bahawa Lionel Messi masih lagi ada dalam kumpulan perbualan kelab walaupun beliau sudah meminta untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Perbualan kelab yang dimaksudkan oleh Frankie de Jong itu adalah perbualan dalam media sosial seperti ‘whatsapp group’ misalnya.

Messi yang kini berusia 33 tahun itu telah memberitahu Barcelona bahawa beliau mahu keluar dari kelab selepas hampir dua dekad menabur bakti untuk gergasi Sepanyol itu.

Inter Milan dan Paris Saint Germain antara pasukan yang sangat berminat untuk menandatangani pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu.

Namun setakat ini, Manchester City merupakan pasukan yang paling sering dikaitkan dengan Messi dan kemungkinan untuk bintang Argentina itu menyertai the Citizens pada musim panas ini sangat tinggi.

Namun, walau bintang terhebat Barcelona itu sudah meminta untuk meninggalkan kelab, beliau sehingga kini masih lagi ada dalam kumpulan perbualan kelab.

Menurut Frankie de Jong, beliau sangat berharap agar bintang Argentina itu masih tidak meninggalkan kelab selepas kembalinya beliau dari tugas untuk skuad antarabangsa Belanda.

“Saya sangat berharap Messi masih disini apabila saya pulang nanti, tetapi ianya bukanlah dalam bidang kuasa saya. Dia masih ada dalam kumpulan perbualan kelab.”

Jelasnya kepada Fox Sports.

“Saya juga bukanlah sesiapa untuk bercakap dengan beliau soal ini, saya yakin sudah ramai orang sekelilingnya melakukan hal tersebut beberapa hari ini.”

“Saya tidak pernah bercakap dengannya tentang ini lagi. Jadi jujurnya saya tidak tahu bagaimana dan apa yang telah terjadi.”

“Tetapi sekiranya Messi benar-benar pergi, ianya merupakan suatu kehilangan terbesar untuk pasukan dan kelab sendiri.”

“Selepas saya kembali dari tugas pasukan antarabangsa nanti, saya mahu lihat sendiri apa yang akan terjadi pada kelab.”

“Saya tidak hubunginya. Saya fikir cukup untuk orang-orang yang mahu tahu tentangnya saja yang lakukan. Saya tidak mempunyai hubungan terlalu rapat dengannya yang membolehkan saya untuk terus hubungi dia dan tanya semua ini.”

De Jong menyertai Barcelona pada musim panas lalu dan sepertinya beliau gagal untuk memenangi sebarang kejuaraan bersama Barcelona musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak mahu terlalu memikirkan permasalahan antara kelab dengan Messi sendiri memandangkan beliau mahu memberi tumpuan kepada skuad kebangsaan.

Beliau akan mewakili skuad kebangsaan Belanda untuk menghadapi kejohanan Nations League yang bakal ditemukan dengan pasukan Poland dan Itali.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.