De Gea Akhirnya Bersuara Selepas Kekalahan United Di Tangan Villarreal

Penjaga gol Manchester United, David De Gea buat pertama kalinya telah memuat naik status di laman media sosial miliknya selepas kekalahan United di tangan Villarreal semalam.

Beliau mendiamkan diri buat seketika mungkin kerana sedih dan kecewa selepas merasakan dirinya punca United tewas dalam perlawanan akhir Europa League semalam.

De Gea telah dipilih sebagai penjaga gol utama United berbanding Dean Henderson dalam aksi perlawanan akhir bertemu Villarreal di Gdansk semalam.

Kedua-dua mereka saling berganti sebagai penjaga gol utama dan terdapat ramai juga peminat yang sering membandingkan tahap persembahan antara kedua-dua mereka.

Ia merupakan malam yang harus segera dilupakan oleh penjaga gol Sepanyol itu yang telah bolos satu gol pada aksi babak pertama permainan, lalu bermain dengan cemerlang sehingga tamat 120 minit perlawanan.

Beliau berjaya mengawal gawangnya dengan baik dan menyelamatkan percubaan dari pemain lawan, namun segalanya berubah ketika perlawanan berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.

De Gea gagal untuk menyelamatkan walau satu pun dari 11 sepakan penalti yang diambil oleh Villarreal, termasuk yang diambil oleh penjaga gol, Geronimo Rulli.

Apa yang menyedihkan lagi, dari 22 pemain yang mengambil sepakan penalti dalam perlawanan ini, hanya beliau seorang sahaja yang gagal untuk menjaringkan gol.

Selepas beberapa jam menenangkan diri, De Gea kemudiannya memuat naik status di laman media sosial miliknya dengan menulis:

“Jatuh dan bangun. Belajar dari pengalaman, berjuang lagi dan menang. Terima kasih atas sokongan.”

Gambar yang telah beliau kongsikan ketika itu adalah gambar dirinya bersama bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson, yang mana legenda terhebat sepanjang zaman itulah yang membawanya ke Old Trafford dahulu.

Fergie turut terbang ke Poland untuk menyampaikan hadiah kepada para pemain dan beliau menanti De Gea selepas selesai tugasnya untuk memujuk hati bekas penjaga gol Atletico Madrid itu.

Terdapat cakap-cakap belakang yang menyatakan bahawa penjaga gol berusia 30 tahun itu bakal meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Salah satu faktor yang menyebabkan De Gea mahu meninggalkan kelab adalah kerana kehadiran Dean Henderson yang dikatakan bakal menggalas tugas sebagai penjaga gol nombor satu kelab.

Tom Heaton juga akan kembali ke kelab pada musim panas ini dan United turut sering dikaitkan dengan bakal menandatangani penjaga gol yang baru.

Gianluigi Donnarumma yang sudah sah akan meninggalkan AC Milan pada musim panas ini antara nama yang dikaitkan bakal sertai Manchester United.

Pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer turut menerima kritikan yang teruk dari para peminat ekoran dari kekalahan United ini, dan ramai yang mempersoalkan kemampuan beliau.

Beliau dikatakan tidak cukup bijak dalam membuat percaturan dengan para peminat merasakan beliau tidak layak untuk mengurus kelab seperti Manchester United.

Dalam aksi perlawanan akhir semalam, Ole telah dipersalahkan kerana tidak menggunakan pertukaran pemain dengan betul.

Ramai yang mengecam beliau menggunakan De Gea yang jelas lemah penalti berbanding Dean Henderson yang lebih berkemampuan untuk berdepan dengan situasi penentuan sepakan penalti.

Namun Ole sendiri sudah mendedahkan alasan beliau yang mana beliau sendiri sudah berfikir untuk melakukan pertukaran tersebut, namun kerana mahu menjaga air muka De Gea dan yakin dengan penjaga golnya itu, maka beliau tidak memasukkan Dean.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.