Ketika di padang, beliau akan mengecat wajahnya seperti seorang rockers, di luar padang beliau bermain dalam sebuah rock band, mengadakan konsert dan mencipta kontroversi, Dario Dubois adalah tokoh popular yang bermain bola sepak di Buenos Aires sekitar tahun 90an.
“Ia menambahkan tenaga saya.” Komen Dario tentang ritual pra-perlawanannya itu. “Anda cat muka anda, pergi berperang, dan bunuh musuh.”
Dario merupakan pemain bola sepak di Argentina untuk liga bawahan. Selama sedekad lebih beliau bermain untuk beberapa kelab dan mencipta pelbagai cerita sensasi. Beliau akan mengecat mukanya seperti band Kiss sebelum masuk ke padang untuk menaikkan semangatnya. Pada satu ketika beliau pernah mengetuk pintu bilik pengadil sebelum perlawanan untuk menggunakan cermin di dalamnya bagi mengecat muka kerana di bilik persalinannya tiada cermin. Beliau kebiasaaanya mengecat muka dengan warna hitam putih dengan garang seperti untuk pergi berperang. Ia bertujuan untuk menaikkan semangat dan menghilangkan rasa gentar dalam dirinya, membuatkan lawan takut untuk berhadapan dengannya, dan mengambil perhatian penonton kepadanya. “Anda mungkin ketawa melihat saya seperti seorang badut dengan wajah yang bercat, tetapi saya sanggup mati demi jersi yang saya sarung.”
Penampilan Dubois adalah seperti seorang rockers dengan rambutnya yang panjang menggerbang, beliau mengisi masa lapang dengan bermain untuk tiga buah band di bandar tempat tinggalnya. Pertama adalah kumpulan Vox Dei yang pada mulanya ingin menggunakan nama Dubois Dei tetapi ditukar kepada Tributo Rock untuk mendapatkan nilai komersial. Kedua adalah band Corre Guachin yang memainkan muzik mod, grunge, dan electronic. Dan ketiga yang paling popular adalah band Reef yang pernah menduduki carta top ten terbaik dengan lagu popular ‘Place Your Hands’ di Argentina.
Disebalik sifat nakalnya, beliau adalah seorang yang tegas dan berprinsip, pernah sekali ketika mahu mengecat muka sebelum memulakan perlawanan beliau didekati oleh seorang yang berpengaruh, orang itu mahukannya bermain sambil lewa dan kalah, beliau menawarkan Dubois amaun yang besar sekiranya menurut arahan orang itu. Tetapi Dubois bukanlah seorang yang mudah dibeli, beliau memaki hamun orang itu lalu menghalaunya keluar.
Pada satu ketika beliau bermain untuk pasukan Lugano, penaja gagal membayar bonus kemenangan yang dijanjikan. Dubois berasa bengang dan ingin memberontak, beliau kemudian bertindak menyalut lumpur pada lambang penaja di jersinya dalam perlawanan seterusnya sebagai isyarat kepada penaja. Ketika mewakili pasukan Midland pula beliau telah dibuang padang kerana menerima kad kuning yang kedua. Ketika mengambil kad dari poket, pengadil tanpa sengaja telah mencicirkan wang 500 peso miliknya. Dubois kemudian tunduk dan mengutip wang itu lalu berkata kepada pengadil, “ini sebagai bayaran atas kemenangan saya yang telah awak rampas celaka!” Dubois kemudian berlari laju menuju ke bilik persalinan. Pengadil itu tergamam seketika sebelum mengejar Dubois bersama beberapa orang pemain lain dan pegawai perlawanan. Beliau bagaimanapun memulangkan semula wang itu kerana pengadil mengugut mahu membawanya ke balai.
Komitmen Dubois terhadap bola sepak adalah sangat baik. Beliau begitu berdisiplin dan antara pemain yang tidak pernah ponteng latihan. Bagaimanapun beliau berkata, “Saya tidak gemar bermain bola sepak sebenarnya, saya lakukan hanya untuk menyara hidup saya. Saya tak minum arak, tak hisap dadah, bola sepak membolehkan saya menyambung hidup saya, ekonomi saya tidak berapa baik, ia teruk, jadi saya perlu menjaga disiplin supaya mereka tidak dapat membuang saya.” Ini dibuktikan dengan tindakannya ketika tidak bermain bola sepak atau membuat konsert, beliau akan menjual pakaian dan cenderamata di jalanan.
Wajah bercatnya menjadi identiti untuk beliau dikenali oleh penggemar bola sepak di Argentina. Sepanjang kariernya, beliau telah melakukan 146 penampilan untuk kelab Yupanquie, Lugano, Deportivo Laferre, Deportivo Riestra, Canuelas, Deportivo Paraguyo, Victoriano Arenas, dan Ferrocaril Midland, kelab yang sangat beliau sayangi kerana telah menyerlah di sana.

“Pemain lain memikirkan saya seorang yang kelakar,” ketika ditanya tentang make-up dan cat pada wajahnya. “Tiada peraturan yang melarang saya dari melakukannya, tapi sekiranya kelab tidak menyukai tindakan saya, saya boleh berhenti dari melakukannya, kerana saya adalah peminat Midland.”
Bagaimanapun kelab Midland pula tidak berapa gemar kepadanya, beberapa minggu selepas temuramah itu, Midland menyuruh beliau mencari kelab lain. “Kami tak boleh teruskan dengan beliau.” Kata pengerusi kelab Midland, Rodolfo Marchioni. “Beliau menjadi badut dan ini memberikan imej yang tidak baik untuk kelab.” Bagaimanapun Dubois kemudian membalas kenyataan Marchioni dengan mengatakan beliau (Marchioni) sebenarnya cemburu kerana wartawan cuma memberikan perhatian kepadanya. Dubois kemudian membuat keputusan untuk berhenti mengecat muka pada perlawanan seterusnya, teteapi jurulatih, Jorge Canova memberitahunya adalah sangat sukar untuk Dubois kekal di kelab lagi.
Pada musim panad 1999, Dubois meluahkan hasratnya tentang kemungkinan untuk bermain bola sepak di Portugal kerana di sana beliau terbaca berita tentang pemain Porto, Mario Jardel dan Ljubinko Drulovic telah mengecat muka mereka kepada warna biru putih ketika perlawanan terakhir musim menentang Estrela Amadora. Bagaimanapun hasratnya tidak menjadi kenyataan, malah beliau sambung bermain untuk Midland sehingga 2002.
Persatuan bola sepak Argentina (AFA) bagaimanapun tidak menyukai dengan penampilan Dubois. Mereka kemudian memasukkan peraturan untuk menghalang Dubois dari mengecat muka atas alasan pengadil sukar untuk mengecam wajah pemain. Dubois kemudian terpaksa menurut dan memberikan komen, “Apa lagi boleh dikatakan, terima kasih kepada AFA kerana menunjukkan aspek pengurusan yang baik, ini menyerlahkan kredibiliti mereka sebagai persatuan bola sepak yang melakukan kerja hari-hari.”
Pada Mac 2002, ketika perlawanan menentang Liniers, Dubois terlibat dengan perlanggaran yang teruk menyebabkannya pengsan. Beliau segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan beliau mengalami gegaran pada kepala dan terpaksa berehat beberapa minggu. Selepas pulih beliau kemudian dibenarkan keluar dari hospital dan mengecam tindakan AFA. “AFA dan Agremiados (persatuan pemain Argentina) semua celaka! Nasib baik saya okay, tapi saya hampir mati di padang dan mereka tidak melakukan apa-apa! Terima kasih kepada institusi yang bagus ini kerana tidak membantu apabila saya memerlukan mereka!”
Dua tahun selepas itu Dubois bermain untuk pasukan Victoriano, beliau telah mengalami kecederaan ligament lutut yang teruk. Kecederaan itu boleh menamatkan kariernya dan doktor menasihati beliau untuk melakukan pembedahan segera. Dubois kemudian meminta bantuan dari AFA tetapi tidak dilayan. Akibat kesempitan wang, beliau tidak mampu untuk melakukan pembedahan. Dubois terpaksa menamatkan kariernya akibat kecederaaan itu.
Ketika ditanya tentang pelannya selepas bersara, Dubois mengatakan, “Saya suka golf, tetapi saya tidak bagus dalam permainan itu, saya masih boleh mencari makan dengan bermain muzik, akan datang jika terpaksa, saya akan bekerja menjadi gigolo di kelab gay.” Katanya berseloroh. Beliau bagaimanapun meneruskan kariernya dalam bidang muzik dan bekerja di sebuah bar di Buenos Aires.
Pada tahun 2008, ketika berbasikal pulang dari kerja bersama teman wanitanya, Dubois telah dirompak. Perompak itu telah mengambil basikal, beg dan telefon bimbitnya sebelum menembak beliau di kaki dan perut. Atas bantuan orang ramai beliau dikejarkan ke hospital selepas itu dan hanya mampu bertahan selama dua minggu sebelum beliau meninggal dunia ketika berusia 37 tahun. Sehingga kini beliau dikenangi dengan cerita tentang kelakuan luar biasanya di dalam bola sepak, tentang tragedi yang menimpa kariernya bersama air mata dan wajah yang bercat seperti kumpulan rockstar, Kiss.