Presiden UFC, Dana White terkejut dengan soalan wartawan tentang adakah benar, ada perbincangan untuk pertarungan Conor McGregor vs Floyd Mayweather 2.
Menurut beliau, pihak UFC tidak ada melakukan sebarang perbincangan tentang hal itu dengan mana-mana pihak buat masa ini. Dana White menganggap itu hanyalah spekulasi media.
Ini selepas Mayweather memuatnaik video beliau berlatih di satu gym yang mirip kepada octagon. Terus McGregor menyambut gembira melihat video itu.
Sebelum itu, McGregor berkali-kali mengharapkan agar Mayweather pula masuk ke Octagon menentang beliau. Dalam pertarungan sebelum ini, Mayweather menyahut cabaran McGregor untuk bertarung dengan peraturan tinju. McGregor tewas dengan TKO dalam perlawanan tersebut.
McGregor berkata kepada media sebelum ini:
“Dia patut datang ke dalam permainan saya. Saya sudah pergi ke permainan dia, jadi kini giliran dia pula.”
Minggu lalu, Dana White memberitahu dia ada berjumpa dengan Al Haymon, penasihat karier Mayweather. Beliau bercakap kepada TMZ selepas pertemuan itu dengan berkata:
“Kami sedang berbincang. Al Haymon dan saya adalah rakan karib. Kami sentiasa bercakap. Nantilah kita tengok macamana.”
Kenyataan Dana White ini membuatkan media menguatkan lagi spekulasi tentang perbicangan mereka.
Namun kini, Dana White berkata, mereka hanya berbincang benda santai dan tiada kaitan dengan pertarungan semula di antara Mayweather-McGregor. Dana White berkata:
“Tiada apa pun yang berlaku, kami tidak dalam perbincangan aktif untuk hal itu.”
Namun begitu, Dana White tidak menolak kemungkinan akan pertarungan semula itu bakal berlaku. Kerana tiada apa yang mustahil melibatkan UFC dan pihak Mayweather.
“Segalanya ada kemungkinan dan tak mustahil. Namun buat masa ini, saya fikir ianya tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana Floyd tak perlukan wang,” katanya sambil tersenyum mengusik media.
Ini kerana, media sendiri menulis yang Mayweather kini sedang mencari duit selepas bersara.
Dana White gembira dengan berita Conor McGregor yang bakal kembali semula ke Octagon selepas berehat panjang. Dana White juga menyatakan yang McGregor akan dilucutkan daripada 2 kejuaraan UFC beliau tidak lama lagi.
“Saya suka melihat dia (McGregor) berhadapan dengan pemenang di antara Ferguson-Khabib selepas ini.”
“Pertarungan, Ferguson-Khabib ini bukan mencari juara interim tetapi nak mencari juara sebenar, no.1 dan no.2.”
Dana White juga memberitahu yang beliau tidak pasti bila Conor McGregor akan kembali kerana McGregor masih berehat di rumah. McGregor memberitahu:
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada sesiapa yang nak datang ke rumah dan merampas tali pinggang saya ini.”
McGregor memberitahu dunia bahawa beliau akan bertarung sekali lagi, dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan kepulangan semula beliau ke Octagon.
Dana White pastinya mengharapkan McGregor kembali segera ke Octagon kerana publisiti. Sebelum ini Dana White agak berang kehilangan satu lagi kuasa publisiti, Ronda Rousey ke WWE.
Dana White memperlekehkan WWE sebagai sukan yang palsu. Ianya mendapat respon pedas daripada Brock Lesnar yang menyifatkan Dana White tidak matang dalam mengeluarkan kenyataan.