Dana White Dedah Perbincangan Rahsia Dengan Khabib Nurmagomedov

Khabib Nurmagomedov mengejutkan peminat dan penyokongnya dengan pengumuman untuk bersara selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254 pada hujung minggu lalu.

Petarung berusia 32 tahun itu mengekalkan rekod tidak terkalah 29-0 selepas menewaskan Gaethje di pusingan kedua menggunakan jurus ‘triangle choke’ yang memaksa lawannya itu untuk membuat submission.

Dan ketika ditemuramah selepas pertarungan tersebut, The Eagle mendedahkan keputusannya untuk bersara dari sukan itu.

“Ia adalah pertarungan terakhir saya,” kata Khabib

“Tak mungkin saya akan kembali tanpa ayah saya. Ini adalah kali pertama selepas apa yang berlaku kepada ayah saya. Apabila saya menerima panggilan UFC untuk menentang Justin, saya berbincang perkara ini bersama ibu saya selama tiga hari.

“Dia tidak mahu saya bertarung tanpa ayah. Tetapi saya berjanji ini akan menjadi kali terakhir, dan saya akan mengotakannya. Saya harus menurut. Ini adalah pertarungan terakhir saya di sini.”

Khabin sememangnya seorang individu yang akan mengotakan kata-katanya. Namun pendedahan oleh Dana White ini mengejutkan ramai.

Selepas berbicara sendiri kepada Khabib, White yakin Khabib akan membuat u-turn terhadap keputusannya untuk bersara, dan akan bertarung sekali lagi demi memenuhi permintaan arwah ayahnya yang mahukan rekod 30-0.

White ketika ditanya sama ada beliau maklum mengenai keputusan Khabib sebelum perlawanan berkata kepada CBS Sports Radio:

“Tidak, tiada siapa mengetahui [keputusan]. Jurulatih dia pun tidak tahu.”

White kemudian memberi satu kenyataan yang pasti membuatkan ramai penyokong teruja.

“Tetapi saya mahu dedahkan di sini – saya belum pernah memaklumkan ianya kepada sesiapa – Khabib dan saya sebenarnya sedang berbincang secara rahsia…

“Beliau amat emosional pada malam itu selepas memenangi pertarungan tersebut. Saya mempunyai perasaan yang berkata dia mahu melengkapkannya kepada 30-0.”

Ditanya sama ada ini bermakna beliau yakin Khabib akan kembali dari persaraan untuk bertarung, White memberikan respon: “Ya saya percaya.

“Saya berpendapat beliau tidak akan bersara. Ayahnya mahukan beliau mencapai keputusan 30-0. Saya berpendapat beliau mahu menghormati permintaan ayahnya itu.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.