Conte Berminat Untuk Mendapatkan Khidmat Kante

N’Golo Kante berkemungkinan akan kembali bersama dengan bekas pengurus lamanya Antonio Conte tidak lama lagi.

Bintang Chelsea itu pula pada awalnya dilihat antara pemain paling sukar untuk digugat oleh pengurus pasukan, Frank Lampard.

Namun ketika ini beliau sering bergelumang dan bergelut dengan masalah kecederaan dan mungkin bakal dilepaskan.

Menurut sumber laporan dari Gazzetta dello Sport, The Blues bersedia untuk melepaskan pemain tersebut sekiranya Kante mahu meninggalkan Stamford Bridge.

Perkara ini juga memberi sedikit kelebihan kepada Frank Lampard untuk mendapatkan dana tambahan bagi menandatangani pemain baharu nanti.

Kante bukanlah pemain no.6 utama di Chelsea, beliau dikatakan lebih berfungsi sebagai pemain yang bermain di role no.8 untuk pasukan.

Posisi beliau sebagai pemain no.6 kini menjadi milik Jorginho yang sering diberi kepercayaan untuk turun bermain di posisi itu untuk Chelsea.

Seperti semua sedia maklum, Antonio Conte merupakan bekas pengurus yang pernah menguruskan Kante dan beliau sangat mengagumi pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu.

Kante merupakan nadi penting untuk sistem beliau ketika bersama Chelsea. Conte sudah bersedia untuk membuat tawaran rasmi kepada The Blues untuk mendapatkan khidmat Kante.

Beliau turut memberikan jaminan kesebelasan utama kepada Kante sekiranya pemain itu bersetuju untuk beraksi bersama Inter Milan.

Akan tetapi, isu yang paling merisaukan Conte adalah tentang harga. Chelsea pastinya tidak akan melepaskan Kante dengan harga yang rendah.

Lihat saja situasi yang terjadi ketika Madrid mahu mendapatkan Hazard. Beliau ketika itu cuma mempunyai baki kontrak selama beberapa minggu sahaja di Stamford Bridge, namun tetap dijual dengan nilai yang tinggi.

Kante pula mempunyai baki kontrak selama tiga tahun lagi bersama Chelsea dan pastinya Inter perlu menyediakan dana yang besar untuk mendapatkan khidmatnya.

Gaji yang diterima Kante di Chelsea juga mungkin akan menjadi halangan kepada Inter Milan yang kini turut memiliki ramai pemain bergaji tinggi.

Kante menerima £290,000 seminggu bersama Chelsea dan ianya merupakan nilai yang sangat tinggi.

Chelsea dilaporkan meletakkan tanda harga sekurang-kurangnya £80 juta untuk mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan Kante.

Tetapi, sekiranya Kante memilih untuk kembali bersama Conte dan mahu mendapatkan minit permainan lebih, beliau mungkin boleh memilih untuk menerima pemotongan gaji bersama Inter.

Conte merupakan pengurus yang berjaya membantu Kante untuk meningkatkan keupayaan ofensif beliau.

Bagi peminat Chelsea sendiri pula, mereka kebanyakkannya tidak mahu dan tidak sanggup untuk melihat Kante pergi meninggalkan pasukan.

Banjiran pemain di posisi tengah di Chelsea kini pastinya akan membuatkan ada pemain yang terpaksa dilepaskan oleh pasukan.

Dengan kehadiran pemain baru serta pemain muda, Chelsea mempunyai ramai pemain di bahagian tengah dan tidak mustahil untuk mereka melepaskan Kante untuk keseimbangan pasukan.

Setakat ini, Antonio Conte tidak pernah gagal untuk mendapatkan pemain dari Premier League yang beliau mahukan.

Kante juga seorang pemain yang sudah sangat faham dengan sistem permainan Antonio Conte.

Kante merupakan seorang pemain yang sangat rajin, bekerja keras dan memiliki ciri-ciri serta etika yang dikehendaki oleh Antonio Conte.

Conte sudah bersedia untuk kembali bangkit dan mahu lebih serius mencabar kejuaraan Serie A musim hadapan selepas gagal melakukannya musim ini.

Selain daripada Kante, Inter Milan juga dilaporkan sudah bersedia untuk membida beberapa pemain berprofil tinggi untuk jendela perpindahan kali ini.

Emerson Palmieri dan Arturo Vidal antara yang dikaitkan bakal sertai Conte bersama Inter Milan musim hadapan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.