Arwah Muhamad Ali pernah berkata:
“Jika saya berjalan di luar sana dan suku daripada isi poket serta beg saya adalah kebenaran, saya akan berasa sangat gembira.”
Anda pastinya tahu akan kisah Colin Kapernick yang memulakan protes melutut ketika lagu kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dimainkan pada sebelum wisel permulaan perlawanan bola sepak Amerika.
Beliau sanggup meninggalkan karier gemilang beliau dengan kontrak mencecah jutaan dollar setahun demi prinsip dan pendirian beliau.
Bagaimana Ia Bermula
Segalanya bermula pada lewat Ogos 2016 apabila Philando Castile telah menjadi orang kulit hitam ke-4 mati kerana keganasan polis sejak 2015 selepas Eric Garner, Alton Sterling dan Freddie Gray.
Kematian tersebut telah diratapi ramai pihak terutama sekali warga negara AS berkulit hitam yang merasakan pihak polis harus menghentikan keganasan terutama sekali kepada warga AS berkulit hitam.
Philando Castile yang baru berusia 32 tahun telah ditembak mati oleh polis ketika sekatan jalanraya kerana dituduh bertindak mahu menembak pihak polis.
Namun siasatan mendapati, Castile tidak memiliki sebarang senjata api ketika itu dan Biro Jenayah Minesota mengarahkan kes ini disiasat semula.
Pegawai polis yang menembak mati Castile pula hanya direhatkan daripada tugasan dan dikatakan mungkin akan ditukarkan ke tempat lain.
Alton Sterling, mati pada 7 Julai 2015 selepas ditembak mati dari jarak dekat kerana memiliki senjata api. Tetapi siasatan mendapati, Sterling tidak mengeluarkan senjata beliau untuk menyerang polis.
Pegawai yang bertanggungjawab, Blane Salamoni dan Howie Lake telah diberikan cuti bergaji ketika kes mereka dalam siasatan.
Pada 19 April 2015 pula, Freddie Gray pula meninggal dunia selepas kecederaan saraf tunjang. Ianya berlaku selepas Gray menaiki van polis.
6 pegawai polis disiasat di atas insiden tersebut yang mengaitkan kematian itu kerana ada unsur kekerasan yang brutal. 2 pegawai dibebaskan dan 4 lagi masih menunggu perbicaraan.
Pada 4 April 2015 pula, Walter Scott meninggal dunia selepas melarikan diri daripada pihak polis. Scott tidak memiliki sebarang senjata api ketika melarikan diri.
Kaepernick Melutut
Tindakan brutal pihak polis itu telah mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak. Dan Colin Kaepernick telah tampil dengan protes di arena sukan berpengaruh di AS iaitu bola sepak Amerika.
Kaepernick awalnya hanya berdiam diri dan hanya membuat kenyataan media selepas 2 minggu daripada insiden beliau tidak mahu berdiri ketika lagu kebangsaan AS.
Kaepernick memberitahu media beliau kecewa dengan penindasan ke atas orang kulit hitam di Amerika Syarikat.
“Bagi saya, ada perkara lebih penting daripada football. Dan saya tidak mahu menjadi orang yang mementingkan diri sendiri untuk berdiam diri dengan apa yang berlaku.”
“Ada beberapa orang mati kerana tindakan ganas dan mereka yang melakukannya hanya diberikan cuti dan kemudian bebas daripada sebarang pertuduhan.”
Tindakah Kaepernick yang melutut itu telah diikuti ramai rakan beliau dan juga atlet lain di sukan yang lain termasuk mereka yang berkulit putih. Antaranya adalah pemain bola sepak wanita kebangsaan, Megan Rapinoe.

Selepas itu semakin ramai yang melakukan perkara yang sama terutama sekali di NFL. Kritikan ke atas Kaepernick juga semakin kuat kerana dianggap menjadikan lagu kebangsaan sebagai mangsa dan tidak menghormati perajurit yang bersusah payah menjaga keamanan negara serta tokoh-tokoh yang membentuk negara AS.
Protes itu adalah untuk menuntut keadilan dan layanan sama rata kepada semua warganegara. Kaepernick sendiri meninggalkan kerier bola sepak Amerika beliau yang bernilai jutaan dollar demi menuntut keadilan.
Beliau tidak takut bersuara dan mahu semua orang di luar sana tahu yang diskriminasi di AS masih menebal. Rupa-rupanya sebelum ini beliau sudah mendermakan jutaan dollar dariada pendapatan beliau untuk membantu badan kebajikan dan juga badan yang berjuang menentang diskriminasi.
Kaepernick tidak pernah menceritakan hal itu dan ianya hanya diketahui umum selepas beberapa persatuan memberitahu akan kemurahan hati beliau.
Tindakan Kaepernick ini menarik perhatian ramai pihak terutama sekali ahli politik termasuk Donald Trump. Pihak Sports Ilustrated telah menganugerahkan Colin Kaepernick dengan Anugerah Legasi Muhamad Ali di atas perjuangan beliau.
Balu kepada Muhamad Ali, Lonnie Ali bangga menyerahkan penghargaan itu kepada Colin Kaepernick. Lonnie bekata:
“Saya bangga, untuk menyampaikan anugerah ini kepada Colin kerana semangat beliau mempertahankan keadilan sosial dan hak sivil semua warganegara.”
“Seperti Muhamad (Ali), Colin adalah lelaki yang kuat dengan pendirian beliau dan juga yakin dengan apa yang diperjuangkannya. Ini termasuk pengorbanan peribadi beliau untuk memastikan suara beliau didengar.”
“Beliau menggunakan status selebriti dan populariti beliau untuk berjuang kepada komuniti.”
Sebelum ini, Anugerah Legasi Muhamad Ali pernah dimenangi tokoh seperti Bill Russell, Kareem Abdul-Jabbar, Jim Brown, Jack Nicklaus dan Magic Johnson.
Satu ketika dahulu Muhammad Ali digantung 3 tahun daripada karier tinju beliau yang bernilai jutaan dollar hanya kerana beliau bertegas enggan menyahut kerahan tentera yang berperang di Vietnam.
Kaepernick pula sudah menganggur setahun demi memperjuangkan keadilan sosial. Pada awalnya, ramai mencaci tindakan beliau dan menganggap tiada siapa akan kisah dengan protes seperti itu.
Namun selepas beliau bercakap dengan media tentang apa yang diperjuangkan beliau,semakin ramai yang terkesan dan mengikut jejak langkah beliau. Kaepernick berkata:
“Saya bukan buat benda ini untuk meraih pengiktirafan. Saya melakukan benda ini sebagai bantahan kepada penganiayaan terhadap beberapa orang.”
“Jika tindakan ini membuatkan karier bola sepak saya hilang dan hak tajaan saya melayang, saya tidak kisah kerana saya faham ianya akan berlaku. Dan saya masih kekal dengan perjuangan saya yang saya rasakannya betul.”
Tiada kelab yang berani untuk menawarkan kontrak kepada beliau buat masa ini. Ada juga yang menuduh Kaepernick adalah petualang negara. Beliau juga menjadi subjek serangan oleh Presiden Donald Trump.
Tetapi Kaepernick masih kekal dengan pendirian beliau yang mahukan mereka yang bertanggungjawab mencabut nyawa orang awam dengan tiket pegawai penguatkuasa didakwa seadilnya. Beliau masih mahukan segala bentuk penindasan dan diskriminasi warna kulit dihentikan.
Bagi ramai orang, tindakan Kaepernick ini adalah satu bentuk protes tidak sihat kerana dilakukan ketika lagu kebangsaan. Namun bagi sesetengah orang pula, tindakan ini membuatkan mesej di sebaliknya dipandang serius.