ISTAF (Persatuan Sepaktakraw Antarabangsa) adalah badan dunia yang bertanggungjawab dalam sukan sepak takraw. Selain daripada menyelia pertandingan mereka juga bertanggungjawab dalam mewujudkan standard kepada pertandingan sepaktakraw melibatkan beberapa aspek.
Contonhya, peraturan, peralatan dan juga kemaskini dalam regulasi kiraan mata. Oleh itu, penggunaan bola yang standard dalam sepaktakraw juga sangat penting.
Dalam sukan sepaktakraw selain daripada jumlah pemain, dan gelanggang khas, ianya juga wajib dimainkan dengan bola sepaktakraw yang khas.
Seorang pemain sepaktakraw haruslah ada kemahiran yang baik untuk mengawal bola sepaktakraw ini yang sangat berbeza dengan bola dalam sukan lain yang dipam angin.
Ianya lebih keras. Jadi, para pemain sepaktakraw perlu banyak berlatih untuk menguasai kawalan bola ini. Pada hari ini impak daripada tekong pada serve pun tinggi dan sukar untuk dikawal.
Sebiji Bola Sepaktakraw
Pada asalnya, bola sepaktakraw itu menggunakan rotan yang lembut dan dianyam. Sudah pastinya dahulu, tidak ada piawaian khas seperti berapa lubang, berapa diameter dan berapa berat.
Di negara kita, sukan ini asalnya dahulu digelar sebagai sepak raga. Namun begitu, bola raga tradisional ini tetap ada ciri-ciri lantunan dan juga mudah diserap (absorb) oleh kaki dan selamat kepada anggota badan yang lain ketika impak.
Bunyi yang dihasilkan oleh rotan ini antara seni di dalam sepak raga.
Masa telah beruban, pada era moden hari ini bola sepaktakraw diperbuat bahan fiber dan getah sintetik untuk memastikan ia lebih tahan lama dan boleh dikawal dengan serapan yang baik.
Pada hari ini, ianya dihasilkan di kilang yang memiliki teknologi dan peralatan canggih untuk mengawal standard bola sepaktakraw yang dihasilkan.
Persatuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) telah menetapkan garis panduan dan beberapa ciri standard untuk bola sepaktakraw ini.
Ianya harus berbentuk sfera dan dilapik dengan lapisan fiber dan getah sintetik. Dari segi lubang, ISTAF menetapkan bola sepaktakraw harus ada 12 lubang.
Daripda 12 lubang ini, bola sepaktakraw perlu ada 20 titik pertemuan anyaman silang bola tersebut. Diameter sebiji bola takraw haruslah 5.5 inci.
Berat sebiji bola sepaktakraw adalah di antara 170g – 180g untuk kategori lelaki. Manakala untuk wanita pula, beratnya adalah lebih ringan dengan berat di antara 150g – 16og.
Jika terkurang berat, bola takraw itu akan sukar untuk dikawal. Jika terlalu berat pula, ia boleh mengakibatkan risiko kecederaan yang teruk jika terkena.
Buat masa ini, ISTAF tiada halangan untuk penghasilan bola sepak takraw ataupun jalur yang berwarna warni selain daripada warna yang biasa digunakan iaitu perang terang.
Namun pihak ISTAF berhak untuk melarang penggunaan warna yang mengganggu tumpuan pemain ataupun warna yang sukar untuk dilihat para pemainnya.
Setiap kejohanan takraw yang di bawah seliaan ISTAF termasuk Sukan Asia, Sukan SEA, Komanwel, Super Series dan sebagainya, ISTAF akan memeriksa terlebih dahulu bola sepaktakraw yang digunakan dalam setiap perlawanan.
Hanya bola terbaik sahaja yang digunakan!
Pada hari ini beberapa jenama bola sepaktakraw ini telah menjadi pilihan pengguna. Antaranya ialah Gajah Emas, Marathon, Netpro, Pro Sepaktakraw dan macam-macam lagi jenama.
Semakin hari, kualiti bola sepaktakraw ini diperbaiki dari segi ketahanan kualiti yang melibatkan kawalan serta pergerakannya di udara.