Chelsea Sudah Mula Berunding Dengan Bayern Untuk Mendapatkan Lewandowski

Chelsea dilaporkan sudah membuat perjanjian dengan Bayern Munich berkait perpindahan sensasi penyerang handalan dunia, Robert Lewandowski.

The Blues sedang dalam usaha untuk menandatangani pemain penyerang baharu pada musim panas ini, dek kerana mereka sepanjang musim ini mengalami masalah kekurangan kualiti penyudah.

Tambahan pula, Thomas Tuchel merupakan pengurus yang sering menggunakan khidmat pemain yang boleh bermain di posisi false nine.

Kai Havertz dilihat antara pemain yang betul-betul mempunyai kualiti penyudah terbaik dalam kem Chelsea ketika ini, namun beliau bukan penjaring terbanyak kelab musim ini.

Penjaring terbanyak Chelsea musim ini adalah Jorginho, yang telah menjaringkan tujuh gol untuk the blues dan kesemuanya datang dari sepakan penalti.

Sky Germany telah melaporkan bahawa The blues sangat berminat untuk mendapatkan Lewandowski dan percaya penyerang Poland itu pemain yang mereka perlukan ketika ini.

Musim ini merupakan satu lagi musim yang gemilang untuk penyerang berusia 32 tahun itu yang telah merekodkan 47 jaringan dari 39 penampilan untuk Bayern Munich.

Kontrak asal beliau akan berakhir pada 2023 nanti, namun terdapat laporan yang menyatakan bahawa beliau mungkin mahukan cabaran baru dalam tahun-tahun terakhir kariernya.

Beliau sudah 11 tahun bermain dalam saingan Bundesliga bersama Borussia Dortmund dan kini bersama Bayern Munich.

Pemergian pengurus pasukan, Hansi Flick dikatakan menjadi punca pemain kebangsaan Poland itu kecewa dan beliau sebenarnya masih ingin bekerjasama dengan pengurusnya itu.

Terdapat beberapa kelab lain yang turut menyatakan minat mereka untuk mendapatkan Lewandowski seperti, Paris Saint Germain dan Barcelona.

PSG kini bersedia untuk melepaskan Mauro Icardi pada jendela perpindahan musim panas nanti sementara Barcelona pula sedang hangat dikaitkan dengan legenda Manchester City, Sergio Aguero.

Chelsea sebelum ini sudah mengeluarkan dana yang besar untuk menandatangani Timo Werner pada musim panas lalu, namun pemain kebangsaan Jerman itu gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya.

Werner berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi bertemu Leicester minggu lalu, namun kedua-dua gol itu telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan, dan ia jelas membuktikan betapa malangnya nasib beliau sepanjang musim ini.

“Saya rasa aksi babak pertama permainan merupakan gambaran jelas tentang saya sendiri sepanjang musim ini.”

Jelas Werner kepada Sky Sports selepas tamat aksi kemenangan 2-1 menewaskan Leicester City.

“Saya sering, boleh kata sentiasa, hampir untuk berjaya tapi akhirnya tak. Saya rasa bagi saya ia mungkin kerana saya pemain paling tak bertuah musim ini dan mungkin semuanya akan baik-baik saja selepas ini, kerana ia tak boleh jadi lebih teruk dari ini.”

“Contohnya, offside, itu sudah 10 kali jadi, saya tak tahu betapa hampirnya itu, kemudian penalti yang jelas untuk kami. Sudah tentu saya terkejut kerana ia tak diberikan kerana bagi saya itu jelas penalti.”

“Dan kemudian yang gol pertama, saya mahu melakukan tandukan dan saya ada rasa seperti ditolak dan pergerakan dari tangan saya dan bola itu datang tepat ke arah tangan saya.”

“Saya tak tahu yang ia boleh dibatalkan kerana saya rasa sentuhan di tangan tapi tak sedar bagaimana ia berlaku.”

“Kamu nampak itu dalam gambar yang saya telah disentuh terlebih dahulu dari belakang dan bola kena tangan saya.”

“Sangat malang untuk saya sepanjang musim ini. Ketika kamu lalui musim seperti ini dan kamu sangat malang, susah saya nak cakap.”

“Saya masih ada aksi perlawanan akhir Champions League dan perebutan untuk mara ke Champions League musim hadapan, saya harap semuanya baik-baik sahaja.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.