Cavani Sudah Beri Bayangan Bakal Meninggalkan Old Trafford Tidak Lama Lagi

Edinson Cavani telah memberi tanda-tanda tentang langkahnya selepas tamat karier bersama United sebelum turun beraksi dalam mana-mana perlawanan di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer lagi.

Penyerang kebangsaan Uruguay itu merupakan antara pemain paling dikehendaki oleh beberapa kelab ketika akhir tujuh tahun kariernya bersama Paris Saint Germain.

Cavani sendiri turut mengakui kepada ESPN bahawa beliau sudah bercakap sendiri dengan Boca Juniors dan turut menyatakan keinginan beliau untuk menyarung jersi kelab dari Argentina itu.

Ianya tidak menjadi masalah sekiranya Cavani baru berusia 23 tahun, tetapi ketika di usia 33 tahun, dan sedang berada di penghujung kariernya, pastinya beliau tidak akan beraksi lama di Old Trafford.

Hal ini kerana beliau pastinya dengan segera akan meninggalkan setan merah untuk beraksi bersama Boca Juniors sebelum kariernya berakhir.

Dalam perbualan antara beliau dengan vice president Boca, Juan Roman Riquelme, Cavani telah mendedahkan kepada ESPN bahawa:

“Roman berbincang dengan saya dengan penuh rasa hormat, dia mahu saya tahu bagaimana saya dalam keadaan ini, dia juga menawarkan gaji yang sangat munasabah dan kami melalui sesi perbualan yang penuh rasa hormat.”

“Boca adalah pasukan gergasi di dunia, mana-mana pemain pun pastinya mahu bermain di sana. Di sana juga terdapat ramai pemain dari Uruguay. Mengikuti sejarah bola sepak kami dengan penuh perasaan ingin tahu.”

Luahan yang boleh dikatakan sangat berani dari Cavani, beliau sendiri belum sempat berkongsi bilik persalinan dengan Maguire sudah ada perancangan untuk meninggalkan kelab.

“Ia juga ada rahsia dari perbualan saya dengan Roman, kamu harus tanya dia sendiri jika dia mahu memberi tahunya.”

Tambah Cavani lagi untuk membuat ESPN tertanya-tanya.

“Kita akan lihat sendiri apa akan jadi di masa hadapan. Ianya akan menjadi sangat menarik untuk beraksi bersama Boca satu hari nanti.”

Mungkin tiba-tiba Cavani teringat bahawa beliau sebenarnya akan membuat debut dalam saingan Liga Perdana, penyerang baru United itu kemudian menambah lagi.

“Saya ada kontrak selama dua tahun bersama Manchester United. Saya mahu lakukan yang terbaik di sini. Saya rasa selesa.”

“Saya tidak akan pulang ke Amerika Selatan dengan tiada apa-apa lagi untuk saya berikan. Saya seorang yang realistik, saya mahu terus bermain selagi saya berasa bagus. Saya akan terus bermain dua tahun ini dan melihat adakah saya akan menyambung lagi kontrak atau pulang ke Amerika Selatan.”

Jadi pastinya para peminat sudah tidak sabar untuk menyaksikan Cavani beraksi dengan menyarung jersi keramat bernombor tujuh dari Manchester United.

Beliau sepertinya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik. Tetapi beliau juga mahu menyimpan sesuatu untuk kebarang kalian akan beraksi bersama Boca Juniors satu hari nanti.

Cavani terbukti seorang penyerang yang hebat selepas karier cemerlangnya di Itali dan Perancis termasuk di peringkat antarabangsa.

Beliau berjaya menjaringkan 50 gol dari 116 penampilan terakhirnya dan Manchester United berjaya mendapatkan beliau dengan perpindahan percuma, jadi ianya perniagaan yang baik dari setan merah.

Walau bagaimanapun, terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa Cavani sebenarnya ingin menyertai Atletico Madrid sebelum menandatangani perjanjian bersama setan merah.

Namun kerana Atletico telah menandatangani perjanjian bersama rakan senegaranya, Luiz Suarez, maka Cavani terpaksa diketepikan dan beliau terus bersetuju untuk sertai Manchester United.

Cavani akan membuat debutnya bersama Manchester United ketika perlawanan bertemu bekas majikannya, PSG dalam saingan liga Juara-juara 20 Oktober nanti.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.