Cavani Akhirnya Dedah Mengenai Hubungan Beliau Dengan Neymar

Karier Edinson Cavani dengan Paris Saint-Germain (PSG) tamat pada Jun lalu selepas penjaring terbanyak sepanjang zaman jaguh Ligue 1 itu enggan menandatangani kontrak selama 2 bulan yang ditawarkan kepadanya.

Kontrak Cavani bersama PSG sememangnya tamat pada Jun, namun aksi UEFA Champions League yang disambung selepas itu mendorong PSG menawarkan kontrak selama 2 bulan tersebut.

Antara khabar angin yang timbul menyebabkan PSG enggan memberikan kontral lebih lama kepada Cavani adalah kerana hubungannya dengan bintang dari Brazil, Neymar.

Kedua-duanya pernah terlibat dalam insiden pertengkaran kerana berebut menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan menentang Lyon pada musim 2017/18.

Dalam satu temuramah dengan ESPN Argentina, Cavani akhirnya mendedahkan hubungan beliau dengan bekas rakan sepasukannya itu.

“Ney adalah budak yang baik. Satu-satunya masa sayang bertengkar dengan Ney, semua orang pun tahu adalah ketika perlawanan menentang Lyon,” kata Cavani.

“Kami bertengkar sehingga ke bilik persalinan, ada perbincangan dan segala-galanya… Perkara lain yang dikatakan mengenai petengkaran tersebut adalah tidak benar. Jujur, semuanya adalah rekaan.

Walaupun kedua-duanya dari negara Amerika Selatan dan boleh berbahasa Sepanyol, Cavani menekankan hubungan beliau dengan Neymar hanya bersandarkan hal kerja dan tidak lebih dari itu.

Bagi Cavani, ia bukannya satu masalah.

“Benar, kami amat berbeza. Seperti yang saya selalu katakan apabila berada di dalam kumpulan, anda tidak mungkin akan berkawan dengan semua, atau seperti adik beradik.

“Apa yang penting di dalam satu kumpulan pada pendapat saya ialah ketika aksi di atas padang, sentiasa melindungi satu sama lain, dan berlari [bekerja keras] untuk satu sama lain.

“Di bilik persalinan, ia bukan keperluan untuk bekawan dengan semua orang, atau pergi makan bersama dengan setiap ahli pasukan.”

Apa yang dimaksudkan oleh Cavani adalah mereka tidak perlu sering dilihat bersama dan sentiasa makan malam bersama setiap minggu, apabila perkara terpenting sebenarnya ialah aksi di atas padang,

“Apa yang tidak boleh dirunding ialah rasa hormat dan komitmen di atas padang kepada rakan sepasukan yang lain,” tambah Cavani.

“Benar, kami amat berlainan tetapi kami juga pernah berkongsi banyak perkara. Kami juga berfikir dengan cara berbeza namun ia tidak menghalang kami dari mempunyai hubungan yang baik.

Berdasarkan perkongsian di atas, maka boleh kita simpulkan hubungan Cavani dan Neymar tergolong di dalam kumpulan ‘It’s complicated’.

Mereka baik, tapi tidak rapat. Mereka berkawan dan tiada isu tetapi seperti ada sempadan. Susah nak dijelaskan.

Cavani akan kembali ke Parc des Princes apabila Manchester United berhadapan dengan PSG di saingan peringkat kumpulan UEFA Champions League.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.