Bekas pemain kebangsaan Itali, Antonio Cassano menyatakan tindakan Ronaldo meninggalkan stadium, 3 minit sebelum aksi berakhir, boleh menyebabkan pemain itu digantung 2 tahun.
Cassano ternyata tidak gembira dengan tindakan Cristiano Ronaldo yang dilaporkan meninggalkan stadium lebih awal.
Cristiano Ronaldo bengang dikeluarkan Maurizio Sarri pada minit ke-55. Beliau terus menuju ke terowong.
Dan sebelum wisel penamat di antara AC Milan dan Juventus, Cristiano Ronaldo dilaporkan sudah meninggalkan Stadium Juventus Allianz Stadium, ketika perlawanan masih berbaki 3 minit.
Ronaldo ketika itu digantikan dengan Paulo Dybala. Dan Dybala menjadi wira Juventus dengan menjaringkan gol kemenangan, tidak lama selepas beliau dimasukkan.
Dybala menerima hantaran Higuain, melakukan sedikit gelecekan dan merembat deras melepasi Gianluigi Donnarumma.
Juventus menang tipis 1-0 ke atas AC Milan.
Berbalik kepada tindakan Cristiano Ronaldo yang meninggalkan stadium pada minit ke-87, Antonio Cassano menyatakan beliau melanggar peraturan dan berisiko berhadapan dengan hukuman penggantungan 3 tahun.
Ini kerana, dalam setiap perlawanan, pegawai anti doping akan memilih beberapa pemain untuk menjalani ujian doping secara rawak.
Jika mana-mana pemain itu tidak dapat hadir ataupun meninggalkan stadium lebih awal tanpa sebab munasabah seperti dikejarkan ke hospital kerana kecederaan traumatik, maka mereka boleh dikenakan tindakan.
Cassano dalam ulasan beliau di tv berkata: “Adakah dia meninggalkan stadium sebelum perlawanan berakhir? Kamu tidak boleh buat macam tu sebab di sana ada badan kawalan anti-doping.”
Cristiano Ronaldo Could Face 'Two-Year Ban' for Leaving Stadium – Cassano https://t.co/K09XdPPiMY pic.twitter.com/gleQgcAO77
— SIGNAL (@thesignalng) November 11, 2019
“Cristiano Ronaldo harus kembali ke stadium dengan segera untuk mengelakkan hukuman gantung 2 tahun.”
Maurizio Sarri menyatakan beliau faham kenapa Ronaldo tidak dapat menerima hakikat beliau dikeluarkan awal.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Cristiano Ronaldo digantikan oleh Maurizio Sarri. Sebelum ini Sarri menyatakan beliau mengeluarkan Ronaldo kerana langkah berjaga-jaga, risau pemain itu cedera.
Ketika ditanya wartawan, sama ada tindakan Ronaldo itu tidak menghormati rakan sepasukan yang lain, Sarri tidak mahu memberikan komen lebih lanjut.
“Adakah dia tidak menghormati rakan sepasukan? Macam saya kata tadi, saya tak tahu,” tegas Maurizio Sarri.
“Jika benar beliau meninggalkan stadium sebelum perlawanan berakhir, perkara itu perlu diselesaikan di antara beliau dan rakan sepasukannya.”
Namun Sarri memuji impak Dybala yang kembali meletakkan Juventus di tangga teratas liga di atas Inter Milan.
Paulo Dybala merupakan pemain yang hampir dilepaskan oleh Juventus pada jendela perpindahan yang lalu. Namun kemudiannya usaha itu gagal kerana La Joya memilih untuk terus kekal bersama Juventus.
Dybala masih gagal untuk menjadi pemain pilihan utama dalam kesebelasan utama pasukan Maurizio Sarri. Namun aksi beliau ketika menentang AC Milan sangat baik.