Casey Stoner dilahirkan pada 16 Oktober 1985 di Southport, Australia dan terlibat dengan perlumbaan seawal usianya empat tahun dalam perlumbaan bawah sembilan tahun. Ketika usia mudanya beliau terkenal kerana menyertai lima kategori berbeza sebanyak tujuh pusingan pada setiap minggu. Beliau bukan sahaja terlibat dalam semua kategori enjin, malah berjaya memenangi 32 daripada 35 perlumbaan yang disertainya. Terdapat lima gelaran kejuaraan Australia yang dipertandingkan dan beliau berjaya memenangi kesemua lima kejuaraan itu!

Selepas hari jadinya yang ke-14, Casey dan keluarganya berpindah ke England untuk mengejar cita-citanya bertanding dalam kategori premier. Ini kerana ketika itu Casey masih terlalu muda dan tidak dibenarkan untuk menyertai perlumbaan premier di Australia lalu keluarganya membuat keputusan untuk berpindah ke England kerana beliau sudah cukup bersedia. Satu tindakan yang berisiko tinggi tetapi berbaloi pada kemudian hari.
Beliau berjaya menarik penaja hanya selepas satu perlumbaan kerana kerana telah memenangi English 125cc Aprilia Championship pada tahun 2000, tahun pertama beliau dalam perlumbaan litar. Pada tahun itu juga beliau menyertai perlumbaan Spanish 125cc Championship dimana beliau berjaya menarik perhatian bekas pelumba professional, Alberto Puig. Alberto tertarik dengan keazaman dan skill yang dimiliki oleh Casey lalu menjemput beliau untuk berlumba mewakili pasukan Telefonica Movistar dalam perlumbaan 125cc Spanish Championship pada tahun seterusnya.
Pada tahun 2001 Casey bertanding dalam dua kejuaraan English dan Spanish. Walaupun terlepas beberapa perlumbaan English kerana bertembung dengan perlumbaan Spanish, beliau berjaya menghabiskan perlumbaan di kedua kejohanan itu pada tempat kedua. Dalam tahun yang sama beliau diberikan wildcard untuk menyertai perlumbaan 125cc GP World Championship di kedua-dua England dan Australia. Beliau menduduki tempat ke-18 dan ke-12 dalam perlumbaan tersebut dan ditawarkan pula untuk menyertai pasukan Safilo Oxydo LCR dalam kategori 250cc World Championship pada tahun berikutnya.
Beliau kemudian berlumba kategori 250cc ketika umurnya 16 tahun. Kehebatan dan kelajuan yang dipamerkan membuatkan beliau berjaya menduduki tempat kelima dalam perlumbaan di Brno serta beberapa tempat keenam dalam perlumbaan lain. Pada tahun 2003 beliau masih bersama dengan pasukan Lucio dan Safilo Oxydo LCR, tetapi berlumba dalam kategori 125cc GP World Championship dan berjaya mendapat empat podium. Kemenangan pertamanya adalah ketika di Valencia yang meletakkannya di kedudukan ke lapan keseluruhan dalam kejohanan itu. Kemenangan GP pertamanya pada tahun itu adalah satu titik tolak terbesar dalam kariernya.

Pada tahun 2004, ketika berumur 18 tahun, Casey menyertai pasukan KTM untuk semusim dan berjaya menukar jentera 125cc pasukan itu menjadi mesin kemenangan. Pada tahun itu juga beliau berjaya memenangi enam kali podium dan berjaya membawa kemenangan pertama untuk KTM dalam kelas GP serta berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan. Tahun 2005 Casey kembali ke pangkuan pasukan Lucio Cecchinello, dan kali ini beliau diberi peluang memandu jentera Aprilia 250cc. 2005 menyaksikannya bersaing sengit dengan Dani Pedrosa, beliau berjaya memenangi sepuluh podium dan memenangi perlumbaan di Portugal, Shanghai, Qatar, Sepang, dan Istanbul. Namun beliau tidak berjaya memintas Dani untuk juara keseluruhan dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Akhirnya pada tahun 2006 ketika berusia 20 tahun beliau berjaya mencapai cita-citanya untuk berlumba dalam MotoGP, sebuah kejohanan perlumbaan yang paling berprestij. Beliau berjaya mendapat petak pertama dalam perlumbaan keduanya di Qatar dan bersaing untuk tempat pertama sehingga pusingan terakhir dalam GP Turkey yang menyaksikannya tewas tipis di belakang Melandri. Casey mendapat tempat kelapan keseluruhan dalam tahun pertamanya menyertai MotoGP dan membuktikan beliau mampu untuk bersaing dengan kumpulan pelumba elit lain.
2007 adalah tahun yang sempurna untuk Casey selepas beliau menyertai pasukan Ducati Marlboro bersama dengan Loris Capirossi yang kemudian menjadi sahabat baiknya. Beliau mengahwini isterinya, Adriana pada 6 Januari, dan pada debut pertama dengan jentera barunya, beliau berjaya memenangi perlumbaan di Qatar. Pada 23 September, di Jepun, selepas mendominasi musim itu dengan memenangi sepuluh perlumbaan, Casey dinobatkan sebagai juara MotoGP pada tahun itu dan berjaya membawa Ducati mengecapi kejuaraan pertama mereka selepas pelumba lagenda Valentino Rossi gagal berbuat demikian sebelum ini.

Tahun 2008 beliau bersaing sengit dengan Rossi untuk mengekalkan kejuaraan. Musim itu beliau turun naik dan mendapat tujuh kali petak pertama berturut-turut, dan berjaya menukarkannya dengan kemenangan di Donnington, Assen dan Sachsenring, menyaksikannya ketinggalan hanya 20 mata dari pendahulu keseluruhan ketika itu. Bagaimanapun kemalangan berturut-turut ketika bersaing di Laguna Seca, Brno, dan Misano membuatkan beliau terkeluar dari kejuaraan dan menghabiskan perlumbaan di tempat kedua di belakang Valentino Rossi dengan 280 mata, mata tertinggi yang dicatat ketika itu tetapi gagal memenangi kejuaraan.
https://www.youtube.com/watch?v=JY9mrKR5SkA
Musim 2009 bermula baik untuk Casey, bagaimanapun beliau mengalami keletihan yang teruk setelah beberapa perlumbaan dan membuat keputusan untuk melepaskan perlumbaan ke 11, 12, dan 13 untuk menumpukan kepada kesihatannya. Selepas didiagnosis beliau disahkan menghidap lactose intolerance. Casey kemudian kembali semula dengan lebih kuat untuk bersaing dan mendapat tempat kedua di Portugal. Beliau kemudian memenangi perlumbaan di tempat sendiri di Philip Island dan berjaya memenangi perlumbaan di Sepang. Beliau mendominasi minggu terakhir kejuaraan tahun itu di Valencia dengan mendapat petak pertama untuk perlumbaan pada hari ahad. Malangnya beliau mengalami kemalangan ketika sesi pemanas badan dan memaksanya terkeluar dari perlumbaan. Walaupun terlepas empat perlumbaan pada musim itu, Casey berjaya mendapat tempat keempat keseuluruhan pada musim itu.
Casey bermula perlahan pada musim 2010 dan terpaksa menunggu sehingga perlumbaan ke-13 dimana beliau berjaya memenangi perlumbaan pertama di GP Aragon. Kemenangan itu mendorong beliau untuk memenangi perlumbaan GP di Australia dan Jepun, dan sekali lagi menamatkan musim di kedudukan keempat keseluruhan.
Pada tahun 2011 Casey menyertai pasukan Repsol Honda, beliau berjaya menyesuaikan diri serta merta dengan jentera Jepun dan memenangi tiga daripada lima perlumbaan pertama musim itu dengan kemenangan di Qatar, Le Mans, dan Catalunya. Beliau kemudian menambah kemenangan di litar lembap Silverstone dan Laguna Seca untuk mendahului kejuaraan dengan 20 mata keatas Jorge Lorenzo dengan baki lapan perlumbaan. Pada hari jadinya yang ke-26, beliau berjaya memenangi perlumbaan kesembilan pada musim itu ketika pencabar terdekatnya, Lorenzo tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan. Casey menamatkan minggu itu dengan mendahului 65 mata keseluruhan. Beliau kemudian berjaya memenangi perlumbaan GP Australia menjadikan kemenangannya di Philip Island sebanyak lima kali berturut-turut. Satu-satunya pelumba yang berjaya berbuat demikian sejak era 800cc MotoGP.

Beliau berjaya menjuarai MotoGP buat kali kedua dalam kariernya dan menjadi pelumba pertama memenanginya dalam tahun debut pertama bersama pasukan baru. (Ketika debut 2007 dengan Ducati beliau menjadi juara.) Casey berjaya mendapat kesemua podium pada musim itu kecuali di Jerez dimana beliau terlibat dengan kemalangan bersama Rossi.
Tahun 2012, ketika beliau bersedia untuk mengekalkan kejuaraan, Casey bergelar bapa pada bulan Februari dengan kelahiran anak perempuannya, Alessandra. Kelahiran Alessandra ternyata memberi tuah buat Casey apabila beliau berjaya memenangi perlumbaan di Jerez dan Estoril, litar yang tidak pernah dimenanginya sebelum ini. Kemenangan di Estoril membuatkannya mendahului kejuaraan ketika itu. Beliau kemudian menamatkan tempat keempat di GP Catalunya yang merupakan pertama kali beliau berada diluar podium sejak 14 bulan. Kemudian ketika sidang media untuk GP French pada bulan May, beliau mengejutkan dunia dengan mengumumkan persaraan pada hujung musim. Beliau memberi alasan peribadi dan tidak menggemari cara kejuaraan ditadbir pada musim itu sebagai sebab untuk keputusannya.

Beberapa perlumbaan sukar membawa Casey ke Amerika Syarikat untuk dua pusingan American. Beliau memenangi perlumbaan di Laguna Seca, tetapi kemudian patah hati di Indianapolis selepas terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan beliau tersingkir dan mengalami kecederaan buku lali. Ketika kembali ke eropah beliau dinasihatkan untuk menjalani pembedahan segera dan beliau kemudian terus terbang pulang ke Australia untuk menjalani rawatan. Pembedahan itu memaksa beliau terlepas tiga perlumbaan dan membunuh harapannya untuk meraih kejuaraan. Beliau kembali beraksi di GP Jepun dan mendapat tempat kelima sebelum memenangi podium di Sepang dengan kedudukan ketiga. Menyedari beliau telah terkeluar dari kejuaraan dan perlumbaan GP Australia merupakan perlumbaan terakhirnya, Casey mempamerkan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri di Philip Island. Beliau menjalani sesi latihan dengan catatan masa terbaik dan berjaya mendapat petak pertama di hadapan Jorge Lorenzo. Beliau kemudian berjaya memenangi perlumbaan itu mengatasi Lorenzo di tempat kedua. Casey memenangi tempat ketiga di Valencia dan menamatkan musim itu di tempat ketiga di belakang Lorenzo dan Pedrosa.
Sepanjang karier GP World Championship, beliau berjaya memenangi keseluruhan:
- 45 perlumbaan (2x 125cc, 5x 250cc, 38x Moto GP)
- 17 tempat kedua (5x 125cc, 1x 250cc, 11x MotoGP)
- 27 tempat ketiga (3x 125cc, 5x 250cc, 20x MotoGP)
- 89 podium (10x 125cc, 10x 250cc, 69x MotoGP)
- 43 petak pertama (2x 125cc, 2x 250cc, 39x MotoGP)
- 33 catatan pusingan terpantas (3x 125cc, 1x 250cc, 29x MotoGP)
Semenjak bersara dari MotoGP pada 2012, Casey menyertai perlumbaan V8 Supercars Series dan berkhidmat sebagai pemandu ujian untuk HRC sehingga November 2015. Tanpa diragui, beliau adalah raja di Philip Island dan sebagai penghormatan, pemilik litar mengabadikan selekoh ketiga dengan namanya dan meletakkan tugu gangsa di situ sebagai peringatan kepada pelumba lain tentang kisah yang pernah dicipta oleh Casey. Beliau dinamakan sebagai lagenda di dalam MotoGP meletakkannya sebaris dengan rakan senegaranya, Mick Doohan, Wayne Gardner, Giacomo Agostini, Mike Hailwood, dan Freddie Spencer. Pada 2015 Casey mengumumkan kembali ke MotoGP menyertai pasukan Ducati sebagai duta besar dan penunggang ujian.