Caroline Wozniacki Akhirnya Juarai Grand Slam, Rampas Ranking No.1 Dunia Selepas 6 Tahun

Menakjubkan! Itulah yang mampu kami gambarkan. Nama Caroline Wozniacki seakan-akan sudah pudar daripada lapangan tenis beberapa tahun lalu.

Namun beliau perlahan-lahan kembali semula ke prestasi terbaik selepas melawan kecederaan yang menghantui beliau.

Dalam final ini, Wozniacki berada di ranking ke-2 dunia. Anda sudah boleh bayangkan betapa beliau telah bangkit dalam beberapa tahun ini.

Jika dahulu, Wozniacki pernah menjadi pemain tenis wanita no.1 dunia. Namun kemudian karier beliau ada surut yang agak kuat.

Wozniacki menewaskan pemain yang berada di ranking no.1 dunia Simona Halep. Caroline Wozniacki sudah memiliki 43 kejuaraan major di dalam karier beliau namun untuk Grand Slam, ini adalah yang pertama.

Beliau menikmati detik yang tidak pernah beliau rasai sebalum ini. Merebahkan badannya ke gelanggang dan menangis terharu dalam keadaan tidak percaya.

Beliau menang dengan keputusan 7-6 (2), 3-6, dan 6-4 ke atas Halep. Pada Sabtu lalu, Wozniacki akhirnya bergelar Juara Grand Slam. Di bilik media, Wozniacki megusik tunangya, David Lee.

“Cantik kan dia?”

Wozniacki menyakat agar tunangnya cemburu dengan kecantikan piala yang berdamping dengannya.

“Berada di sini duduk di sebelah trofi Terbuka Australia terlalu istimewa untuk saya. Saya mahu menikmati detik ini sepuas-puasnya.”

Dengan kejuaraan ini, Wozniacki dijangka akan menjadi pemain no.1 dunia sekali lagi pada Isnin ini. Kali terakhir beliau berada di tahta itu adalah pada 6 tahun yang lalu. Terlalu lama jaraknya.

Beliau juga membawa pulang cek bernilai $3.2 juta. Dan ia adalah kemenangan terbesar yang pernah dimenangi oleh beliau dalam satu kejohanan.

Serena Tumpang Gembira

Kejohanan ini pada awalnya hampir pasti menemukan semula seteru lama Serena Williams dan Wozniacki di peringkat tertentu. Namun sayangnya Serena menarik diri kerana kecederaan hamstring.

Di rumahnya, Serena meraikan kejayaan Wozniacki dengan anaknya. Serena merakam gambar anaknya, Alexis yang duduk untuk menyaksikan Aunty Caroline.

Beliau mengakui berdebar-debar menantikan final itu dan mahu rakannya itu menang. Serena tahu betapa pentingnya kejuaraan itu buat Wozniacki.

Dia juga gembira Wozniacki menang dan mengakui dirinya tak boleh tidur dan menangis kegembiraan selepas perlawanan itu.

Tweet beliau ini ditweet semula lebih 4 ribu kali kali. Siapa tak terkesima membaca tweet daripada seteru di gelanggang tetapi rakan di luar gelanggang Wozniacki ini.

Williams gembira akhirnya Wozniacki mengakhiri penantian beliau selepas beberapa tahun lalu beliau gagal melakukannya sebelum ini. Wozniacki bertarung dengan kecederaan berulang di dalam karier beliau.

Wozniacki mengakui dia memerah segala keringat yang ada pada dirinya yang sudah berusia 28 tahun.

“Setiap kali saya akan rasa seperti, oh, saya tak boleh dah ni, saya letih sangat. Dahlah banyak kali saya terpaksa bermain rally panjang. Saya melihat dia (Halep) pun nampak macam keletihan macam saya.”

Halep pula akur dengan kekalahan ini. Ini adalah kekalahan ketiga Halep final major ke-3 beliau. Pastinya kita faham apa yang sedang beliau rasakan ketika ini.

Namun pemain itu tetap tenang dan akan berusaha lagi selepas ini. Beliau tidak mahu 3 kekalahan itu mematahkan semangatnya.

Halep mengakui keletihan kerana terlalu banyak perlawanan panjang kali ini. Halep diambil sampel darah ketika rehat untuk memastikan tekanan darah beliau stabil.

“Saya bermain terlalu banyak perlawanan yang panjang dan badan saya tak cukup bersedia.”

Satu lagi kisah kebangkitan yang mengingatkan kita kepada Martina Hingis sebelum bersara musim lalu. Tahniah Caroline Wozniacki. Pastinya ramai peminat anda bangga.

Foto – Telegraph

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.