Carlo Ancelotti Setuju Uruskan Everton

Carlo Ancelotti telah dikaitkan dengan pasukan Arsenal sebelum ini. Pengurus legenda itu dipecat mengejut oleh Napoli kerana prestasi tidak menentu dalam Serie A.

Ancelotti dipecat selepas perlawanan UCL terakhir peringkat kumpulan menentang Genk.

Ancelotti berjaya membawa Napoli mara ke pusingan kalah mati. Tetapi masih belum cukup untuk meyakinkan Napoli bahawa beliau orang yang tepat.

Napoli kemudian melantik Gennaro Gatusso sebagai pengurus baharu. Gatusso mendedahkan beliau menolak 18 tawaran lain yang tiba kepadanya. Tetapi tidak mampu menolak tawaran Napoli.

Beberapa hari lalu, Carlo Ancelotti dilaporkan berada di London untuk membincangkan jawatan pengurus dengan kelab di England.

Namun ianya bukan dengan Arsenal, sebaliknya dengan Everton.

Semalam Sky Sport melaporkan bahawa pengendali dari Itali itu setuju untuk menjadi pengurus Everton.

Namun ianya masih dalam proses akhir untuk memuktamadkan perjanjian dengan Everton.

Everton kini masih diuruskan oleh Ducan Ferguson sebagai interim selepas pemecatan Marco Silva beberapa minggu lalu.

Di bawah kendalian Duncan Ferguson, Everton mengutip 4 mata daripada 2 perlawanan berhadapan dengan big six. Mereka menang ke atas Chelsea dan kemudian seri berhadapan dengan Man United di Old Trafford.

Sky Sports yakin Carlo Ancelotti akan diumumkan sebelum perlawanan Piala Carabao menentang Leicester City.

Everton tidak mendesak Carlo Ancelotti untuk mengambil alih mengendalikan perlawanan secepat mungkin.

Everton dilaporkan mahu terus membiarkan Duncan Ferguson terus berada di kawasan teknikal pada aksi menentang Leicester selepas pengumuman Ancelotti. Dan bekas pengurus AC Milan itu pula akan mengambil alih sepenuhnya pada aksi liga, hujung minggu.

Jika Ancelotti benar-benar menjadi pengurus Everton, ini adalah perlantikan berprofil tinggi dilakukan Everton.

Di bawah pemilik Farhad Moshiri, Everton sudah banyak melabur wang untuk membeli pemain. Namun hasilnya masih menghampakan.

Ancelotti pernah menguruskan Chelsea dan membantu kelab London itu menjuarai Piala Liga dengan EPL pada 2010.

Berita ini kurang disenangi segelintir penyokong Arsenal yang berharap pasukan mereka cuba mendapatkan jurulatih berprofil tinggi seperti Ancelotti.

Namun Arsenal masih lagi kelihatan sangat perlahan dalam perlantikan pengurus baharu, masih memberikan kepercayaan kepada Freddie Ljungberg.

Arsenal memecat Unai Emery sebelum ini kerana prestasi tidak menentu. Gagal menang dalam 9 perlawanan berturut-turut.

Freddie Ljungberg sendiri meminta pengurusan tertinggi Arsenal melantik segera pengurus tetap di Emirates untuk memastikan mereka kembali stabil.

Hal ini kerana, keadaan sekarang sangat sukar untuk beliau selaku pemangku kerana tidak dibenarkan membawa jurulatih tambahan ke dalam pasukan untuk membantunya.

Ljungberg mendedahkan Arsenal kini kurang kakitangan staf kejurulatihan.

Selain daripada dikaitkan dengan Ancelotti, Arsenal turut dikaitkan dengan Mikel Arteta serta Nuno Espirito Santo, yang kini menjadi pengurus Wolves. Max Allegri dan Mauricio Pochettino turut berada dalam radar Arsenal

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.