Bos Serie A Dedah Premier League Akan Diumum Batal, Liverpool Tak Dapat Piala?

Pengarah Udinese, Pierpaolo Marino mendakwa Premier League akan mengeluarkan satu kenyataan dalam masa terdekat untuk menamatkan (tidak menyambung) saingan musim 2019/20.

Marino yang juga merupakan salah seorang pemimpin tertinggi di  Serie A Itali mempunyai pemilikan bersama kelab Premier League, Wolves.

Perkara itu didedahkan oleh Marino pada Selasa selepas penularan wabak coronavirus di seluruh dunia semakin meningkat.

Bercakap kepada SportItalia, Marino mendedahkan Premier League kini akan mengikut jejak langkah di Belgium, Jupiler Leagure yang dihentikan sepenuhnya pada minggu lalu.

Saingan domestik di Belgium tidak akan disambung, dan Club Brugge telah dinobatkan selaku juara.

“Pihak Persekutuan Bola Sepak Belgium telah memuktamadkan liga walaupun terdapat bantahan terhadap keputusan itu daripada UEFA,” kata Marino.

“Di England, Premier League juga akan mengeluarkan kenyataan yang sama, kerana situasi di sana yang kini menjadi semakin, semakin serius.

“Saya berharap kita boleh sambung balik dan menikmati bola sepak selepas tamat coronavirus.

“Ia tidak kisah berapa lama masa perlu diambil, kita harus keluar dari zon bahaya ini. Saya risau akan saingan pada musim hadapan, bukan yang lama.”

Jika musim ini ditamatkan tanpa menghabiskan baki saingan, maka Liverpool akan ‘dianugerahkan’ kejuaraan di England. Manakala Norwich, Aston Villa dan Bournemouth akan disingkirkan.

Lebih menarik Watford yang mempunyai hubungan rapat dengan Marino berada di kedudukan ke-17 – hanya dibezakan oleh perbezaan gol dari zon penyingkiran.

Sehingga kini belum ada pengesahan daripada Premier League mengenai dakwaan ini. UEFA sebelum ini menegaskan agar saingan domestik di eropah ditamatkan.

Manakala FIFA turut melakukan pertemuan untuk mengubah dasar mereka bagi membenarkan saingan pada musim ini ditamatkan seperti sepatutnya.

Sehingga artikel ini ditulis pendirian Premier League tetap sama, iaitu hanya untuk meneruskan saingan liga apabila keadaan sudah pulih sepenuhnya.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.