Berapa Nilai Net Worth N’Golo Kante?

N’Golo Kante bangun tidur hari ini sebagai Juara Champions League musim 2020/21 dan aksi hebatnya semalam membantu beliau memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan.

Nama Kante boleh dilihat di mana saja platform media sosial sejak semalam, dengan ramai peminat yang begitu kagum dengan kehebatan permainan dan kemuliaan hatinya.

Pemain midfield berusia 30 tahun itu merupakan tembok kebal Chelsea yang menghalang segala serangan dari jentera serangan Man City dalam aksi perlawanan akhir semalam.

Aksi hebat bintang Perancis itu telah berjaya membantu Chelsea menewaskan City 1-0 untuk bergelar Juara Eropah buat kali yang kedua dalam sejarah.

Kehebatan Kante dalam perlawanan akhir semalam sama sekali tidak boleh dinafikan dan para peminat menganggap beliau kunci kemenangan Chelsea.

Kante merupakan nadi penting ketika the blues bertahan dari serangan lawan, dan beliau juga merupakan penggerak utama ketika The Blues mahu melancarkan serangan balas.

Ramai juga yang tertanya-tanya berapa nilai net worth pemilik Mini Cooper itu. Jawapannya ada pada wtfiot.com dan thesun.co.uk yang telah mendedahkannya kepada umum.

Sama seperti pemain bola sepak yang lain, kebanyakan pendapatan Kante adalah hasil dari kontrak yang beliau tandatangani sebagai pemain.

Ketika beliau menyertai Chelsea dari Leicester City pada Julai 2016 dengan yuran perpindahan bernilai sekitar £32 juta, Kante telah menandatangani perjanjian bernilai sekitar £6.3 juta setahun.

Pada November 2018, beliau telah menandatangani lanjutan kontrak bersama The blues, dan dilaporkan pada ketika itu Chelsea menawarkan nilai berganda untuk pendapatan mingguannya.

Walau ia jelas berbaloi untuk membayar Kante dengan nilai yang begitu tinggi atas kerja keras yang beliau tunjukkan, namun beliau sama sekali tidak terbuai dengan kemewahan berbentuk kewangan.

Sebagai seorang muslim yang taat kepada agamanya, Kante telah membuktikan kekuatan moral dan kemuliaan hatinya dalam beberapa hal sebelum ini.

Yang paling terkenal, pada tahun 2018, Kante telah meminta penasihat beliau untuk tidak menggunakan akaun offshore miliknya sebagai akaun untuk beliau menerima semua pendapatan.

Kebanyakkan pemain akan menggunakan akaun offshore untuk menerima nilai wang yang besar supaya mereka boleh mengelak dari membayar cukai yang tinggi.

Menurut satu email yang telah didedahkan, wakil Kante telah memberitahu Chelsea bahawa:

“N’Golo Kante tidak fleksibel, dia hanya mahu gaji yang biasa.”

Permintaan Kante itu sebenarnya dipercayai akan membebankan beliau dengan kadar cukai yang sangat tinggi.

Namun Kante sama sekali tidak memperdulikan hal tersebut dan beliau lebih memilih untuk jujur dalam segala hal termasuk pembayaran cukai yang beliau sepatutnya bayar.

Pemain midfield comel itu bukanlah seorang manusia pemboros yang suka menghabiskan duitnya tidak tentu hala.

Buktinya lihat sahaja pada model kereta yang dipakai oleh pemenang Piala Dunia itu, ia jelas membuktikan Kante sememangnya seorang manusia yang merendah diri dan sering berpijak di bumi yang nyata.

Kante mempunyai pendapatan yang sememangnya mampu untuk membolehkan beliau memakai kereta mewah atau kereta idaman beliau, namun beliau hanya memilih kereta Mini Cooper second hand untuk kegunaan hariannya.

Kehidupan harian beliau di London juga tidak menggambarkan kemampuan sebenar beliau dengan Kante lebih memilih untuk hidup santai berbanding mewah.

Walaupun beliau begitu banyak menyumbang kepada hal kebajikkan dan tidak mengelak dari membayar cukai, Kante dilaporkan memiliki pendapatan bersih bernilai £25 juta.

Melihat kepada reputasi dan gaya hidup beliau sekarang, Kante tentunya akan peroleh lebih banyak keuntungan pada masa hadapan dengan beliau sendiri masih aktif bermain bola sepak

Pemain yang mempunyai tiga jantung seperti Kante tentunya mampu bermain di tahap tertinggi sehingga usia yang maksimum.

Dan kemuliaan hati yang telah beliau pamerkan, akan menjadikan Kante sebagai pemain paling mulia dalam dunia bola sepak dan akan terus diingati oleh para peminat buat selama-lamanya.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.