Bekas Rakan Sepasukan Kante Dedah Kisah Yang Sungguh Mengharukan Berkait Bintang Chelsea Itu

N’Golo Kante sememangnya boleh dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak yang paling disayangi dan dikagumi oleh para peminat seluruh dunia.

Selepas kejayaan beliau membantu Chelsea memenangi gelaran Champions League kemarin, pelbagai kisah menarik tentangnya didedahkan kepada umum.

Apa yang pasti, kesemua kisah tentang Kante yang diceritakan kepada umum adalah kisah-kisah yang positif dan membuatkan para peminat semakin kagum dengannya.

Kante telah dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika dalam aksi perlawanan akhir Champions League kemarin, dan ekoran dari itu, kebanyakkan peminat merasakan beliau layak untuk dianugerahkan dengan anugerah Ballon D’or tahun ini.

Walau bagaimanapun, Kante sendiri tidak pernah memikirkan untuk memenangi anugerah tersebut, sebaliknya beliau hanya memikirkan tentang skuadnya sahaja.

N’Golo Kante boleh dikatakan telah memenangi segalanya yang mahu dan diimpikan oleh kesemua pemain bola sepak di dunia ini.

Namun sikap merendah diri yang beliau miliki membuatkan Kante tidak pernah dicemburui apa lagi dibenci oleh sesiapa sahaja.

Bekas rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Caen dalam saingan Ligue 2, telah mendedahkan satu kisah yang sungguh meruntun jiwa.

Beliau mendedahkan kisah bagaimana Kante menghadiri majlis hari jadinya dengan meminta maaf kerana tidak tahu apa perlu di bawa dan bagaimana cara meraikannya kerana tidak pernah diundang ke mana-mana majlis hari jadi sebelumnya.

“Saya hubungi N’Golo Kante untuk hadir ke majlis ulang tahun saya, ia hanya majlis yang kecil sahaja.”

Jelas Felipe Saad kepada media Brazil, Uol Sport.

“Tiba-tiba dia sampai di restaurant dengan membawa sekotak coklat, dia nampak malu-malu.”

“Dia meminta maaf kepada saya kerana hadiah yang dia bawa, dia kata dia tak tahu nak bawa apa kerana dia belum pernah diundang ke mana-mana majlis hari jadi sebelum itu.”

Walaupun Paul Pogba sebelum ini pernah bergurau dengan menyatakan yang rakan senegaranya itu penipu besar, namun kenyataannya semua orang sebenarnya sangat sayangkan Kante.

Saad turut menjelaskan yang bekas rakan sepasukannya yang meninggalkan Caen untuk menyertai Leicester City pada tahun 2015 itu sebenarnya mempunyai perangai yang sama sahaja sepanjang masa.

“N’Golo Kante merupakan manusia paling baik pernah saya kenal, tidak ada lagi pemain sepertinya dalam dunia bola sepak ini.”

Jelas bintang Brazil yang kini berusia 37 tahun itu.

“Sebab itulah semua pemain yang pernah bermain dengan dia bersetuju, dia di luar sana, sama sahaja seperti apa yang pernah anda tengok di kaca TV.”

Dalam tempoh enam tahun sahaja selepas meninggalkan Caen, pasukan yang pernah beliau bantu untuk naik ke saingan Ligue 1, Kante telah berjaya memenangi Premier League bersama Leicester City.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Chelsea, berjaya pula memenangi gelaran liga, FA Cup, Europa League dan terbaru, Champions League.

Beliau turut berjaya untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan Perancis pada tahun 2016 dan telah menjadi pemain terpenting untuk skuad kebangsaannya, termasuk ketika aksi Piala Dunia 2018.

Seandainya beliau berjaya membantu skuad kebangsaan Perancis untuk memenangi Euro pada musim panas ini, anugerah Ballon D’or sudah tentunya akan menjadi milik beliau.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.