Bekas Pemain Dedah Posisi Pep Guardiola Di Man City Kini Mulai Goyah

Seorang bekas pemain Manchester City berkata Pep Guardiola kini dianggap gagal untuk mencapai indeks pencapaian prestasi yang ditetapkan oleh pihak pengurusan tertinggi di Etihad.

Menurut Danny Mills, Pep Guardiola sudah pasti akan berada di bawah tekanan sekiranya melalui satu lagi musim mengecewakan.

Jurulatih berusia 49 tahun itu dianggap sebagai salah seorang jurulatih terbaik dunia di era bola sepak moden, dengan pencapaian bersama Barcelona mencapai dua kejuaraan Champions League, dan tiga kejuaraan La Liga merupakan yang paling dikenang.

Guardiola turut menghasilkan impak yang sama di Jerman bersama Bayern Munich, namun gagal menghasilkan keputusan segera yang dimahukan ketika tiba di Premier League bersama Manchester City.

Guardiola gagal memenangi sebarang kejuaraan pada musim pertamanya bersama The Citizen, sebelum berjaya membina sebuah pasukan yang mendominasi bola sepak Inggeris dari 2017-1019.

Di bawah kendalian bekas jurulatih Barcelona ini, City telah meraih dua kejuaraan Premier League, tiga Piala Carabao, dan satu Piala FA.

Guardiola turut memecah pelbagai rekod di England seperti deretan kemenangan terbanyak, mata tertinggi, dan gol terbanyak di dalam tempoh semusim.

Di sebalik semua kejayaan tersebut, Guardiola masih belum berjaya membawa kejayaan di peringkat eropah ke Etihad. Dan musim lalu dominasi mereka di peringkat domestik turut diambil alih oleh Liverpool.

Sejak empat tahun lalu Guardiola juga dilihat telah memaksa City melabur dengan banyak untuk pemain pertahanan.

Tetapi sehingga kini, bahagian pertahanan City masih dianggap lemah, dan kekalahan 5-2 kepada Leicester City pada Ahad lalu membuatkan permulaan musim 2020/21 tampil goyah buat jurulatih itu.

“Akan tiba masanya beliau [Guardiola] akan diselubungi dengan tekanan melampau,” kata bekas pemain City dan England itu kepada talkSPORT.

“Sama ada mereka [City] mahu mengaku atau tidak, Guardiola sebenarnya dibawa masuk untuk mengejar kejayaan di Champions League, dan perkara itu gagal dicapai sejak beliau tiba.

“Benar mereka melalui dua musim yang menakjubkan, memenangi banyak trofi, dan kejuaraan liga berturut-turut selain dari jumlah mata yang merupakan rekod pertandingan.

“Tetapi musim lalu amat mengecewakan, dan jika mereka melalui satu lagu musim yang mengecewakan maka anda akan berfikir.

“Ramai berkata Guardiola telah melakukan kerja yang bagus dan mereka bermain bola sepak hebat. Namun ia tidak sama dengan kejayaan yang diimpikan kelab.

“Jika anda adalah Steve Bruce, anda diramalkan mampu mengekalkan Newcastle di pertengahan liga. Tetapi jika anda adalah Pep Guardiola, anda dianggap mampu memenangi segalanya untuk Man City.

“Dan jika anda gagal memenuhi jangkaan itu, ia bermakna posisi anda semakin goyah.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.