Bekas Pemain Dedah Koeman Memang Rancang Untuk Messi Berambus

Mungkin ramai yang tidak mengenali nama Ahmed Hossam Hussein Abdelhamid. Namun anda pasti ingat jika nama Mido disebut.

Benar. Mido yang dimaksudkan adalah bekas pemain Roma, Tottenham dan West Ham itu.

Sebelum itu Mido dan Koeman pernah bersama-sama di Ajax sekitar musim 2001 sehingga 2003.

Di bawah kendalian Koeman, Mido turut pernah dipinjamkan ke Celta Vigo dari Januari sehingga Jun 2003 sebelum dijual ke Olympique Marseille pada jendela perpindahan musim panas itu.

Sepanjang bersama Ajax, Mido sempat menghasilkan 26 gol, dan 11 assists dari 63 penampilan untuk gergasi Belanda itu.

Penyerang kelahiran Mesir ini turut membawa Ajax merangkul empat kejuaraan – termasuk gelaran berganda Liga Belanda dan Piala Belanda pada 2002.

Selepas menjual Mido Koeman kekal sebagai pengurus Ajax sehingga Februari 2005 dan sempat memberikan satu lagi gelaran liga kepada Ajax pada 2004.

Hari ini Mido sudah lama bersara sebagai pemain, manakala Koeman pula baru saja dilantik selaku pengendali Barcelona.

Mido yang secara rasmi bersara pada 2013 ketika bersama kelab terakhirnya Barnsley bagaimanapun mendedahkan Koeman mempunyai satu kelemahan yang membuatkan beliau tidak hairan mengapa Lionel Messi nekad meninggalkan Barcelona.

“Koeman ialah salah seorang jurulatih terbaik yang pernah melatih saya,” kata Mido kepada AS.

“Messi merupakan pemain yang memiliki karakter sangat kuat, tetapi Koeman akan menghadapi banyak kesulitan jika Messi kekal di Barcelona.”

“Hal terbaik untuk Koeman ialah untuk Messi pergi.”

“Koeman tidak akan boleh membangunkan pasukan mengikut kehendaknya dengan keberadaan Messi di dalam pasukan.”

“Koeman adalah jurulatih saya selama satu setengah tahun dan walaupun ia sudah lama berlalu, beliau masih tidak mampu menangani pemain dengan karakter yang kuat.”

“Koeman tidak menginginkan pemain yang gemar menyampaikan pendapat,” tambah Mido.

Messi dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Ronald Koeman selepas bekas pengurus Belanda itu diumumkan sebagai pengganti Quique Setien.

Menurut Deportes Cuatro ia adalah pertemuan yang tegang, dan Messi sendiri sukar mempercayai pendirian bekas pengurus Souhampton dan Everton itu.

Ada satu ayat yang keluar dari mulut Koeman membuatkan Messi benar-benar marah dan tersingung.

“Tiada lagi keistimewaan [untuk kamu] di dalam skuad ini. Anda harus melakukan [sanggup berkorban] segalanya untuk pasukan ini,” kata Koeman menurut laporan tersebut.

“Mulai sekarang saya tidak akan fleksible; dan anda pula harus memikirkan kepentingan pasukan sahaja.”

Bagi Messi ia adalah kenyataan bernada autoriti yang tidak diterima baik oleh pemain itu. Apatah lagi hubungan beliau dengan jurulatih sebelumnya tidak berjalan seperti itu.

Ini menjelaskan apa yang dijelaskan oleh Mido. Ia semakin jelas Barcelona di bawah kendalian Koeman adalah lebih baik tanpa Messi. Dan ia juga seperti sudah dirancang oleh Koeman.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.