Bekas Pemain Bola Sepak Ini Mengaku Lebih Hebat Dari Messi, Ronaldo Dan Neymar

Bekas pemain bola sepak untuk skuad kebangsaan Brazil, Edilson percaya bahawa beliau lebih hebat berbanding Neymar, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Edilson yang kini sudah berusia 50 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan seperti Palmeiras, Corinthians dan Flamengo.

Beliau juga pernah membuat 21 penampilan untuk Brazil termasuk ketika Piala Dunia edisi Korea Jepun pada tahun 2002 dan telah menjaringkan 6 gol sepanjang tempoh tersebut.

Walaupun tidak pernah beraksi di mana-mana liga utama Eropah, Edilson dengan yakinnya mendakwa bahawa beliau berada di tahap yang berbeza berbanding dua pemain terbaik dunia itu.

Beliau merasakan dirinya jauh lebih hebat berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo hanya kerana beliau ada medal dari kejuaraan Piala Dunia yang mana kedua-dua pemain itu tidak memilikinya.

“Ketika kemuncak, saya beraksi lebih baik berbanding Neymar. Dia perlu memenangi Piala Dunia untuk menjadi lebih hebat dari saya.”

Jelas Edilson kepada Bandeirantes menerusi Metro.

“Saya mempunyai personaliti dan untuk Messi menjadi lebih hebat dari saya pula, dia juga harus memenangi Piala Dunia.”

“Cristiano Ronaldo pula hanya ada kekuatan, dia mahir dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya tapi saya lebih berskill darinya.”

Walau keyakinan beliau boleh dikatakan sangat mengagumkan dan benar Messi serta Ronaldo tidak pernah memenangi Piala Dunia, namun pasti ramai yang menganggap Edilson tidak lebih dari sekadar bergurau.

Messi dan Ronaldo jelas menguasai pentas bola sepak masa kini dengan kedua-dua mereka telah berjaya mengumpul 11 Ballon d’or serta memecahkan pelbagai rekod dalam dunia bola sepak.

Perseteruan antara mereka juga boleh dikatakan sebagai perseteruan yang sihat dengan kedua-dua mereka saling mendorong satu sama lain untuk mendapatkan prestasi terbaik.

Messi sendiri pernah meluahkan perasaan pilu beliau apabila Ronaldo tidak lagi beraksi dalam saingan La Liga, sementara Bintang Portugal itu turut merasakan hal yang sama terhadap ketua pasukan Barcelona itu.

“Saya sungguh kagum dengan perjalanan karier beliau setakat ini.”

Jelas Ronaldo kepada RMC Sport.

“Dia sendiri pernah cakap bahawa dia mengalami kesukaran sejak saya meninggalkan liga Sepanyol, ini bermaksud dia sangat menghargai perseteruan antara kami.”

“Ianya adalah perseteruan yang terhebat pernah wujud dalam dunia bola sepak.”

“Michael Jordan mempunyai seteru dalam bola keranjang, Ayrton Senna dan Alain Prost juga merupakan seteru terhebat dalam Formula One.”

“Apa yang penting dalam semua perseteruan tidak kira dalam sukan apa, adalah perseteruan yang sihat.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.