Bekas Bintang Madrid Jadi Pemain Pertama Dibeli Dengan Bitcoin

Bekas pemain pasukan Real Madrid B dan Levante, David Barral menjadi pemain pertama dalam sejarah yang dibeli dengan menggunakan mata wang digital.

Pemain berusia 37 tahun itu secara rasminya menandatangani perjanjian bersama pasukan dari Segunda B, DUX Internacional de Madrid awal minggu lalu.

Apa yang menariknya, urusan pembayaran perpindahan tersebut, sepenuhnya menggunakan bitcoin. Yang mana ia adalah mata wang digital yang menggunakan teknologi peer-to-peer untuk memudahkan pembayaran segera tanpa yuran transaksi.

Berapa agaknya Internacional keluarkan dana untuk mendapatkan beliau?

Kelab tersebut merupakan sebahagian dari DUX Gaming, syarikat eSports yang dimiliki oleh pemain bola sepak, Borja Iglesias dan Thibaut Courtois.

Pihak kelab sehingga kini masih merahsiakan jumlah keseluruhan urusan perpindahan tersebut, namun urusan perpindahan Barral yang menggunakan bitcoin sudah diumumkan oleh kedua-dua belah pihak.

Urusan perpindahan tersebut juga dibantu oleh penaja kelab Sepanyol itu bersama dengan Criptan.

Menurut CryptoAdventure pula, Criptan merupakan platform tempatan berkait urusan jual beli menggunakan mata wang digital.

Menerusi satu muat naik di laman media sosial, Internacional meraikan kehadiran pemain penyerang berpengalaman itu sambil mengucapkan terima kasih kepada penaja mereka.

“David Barral merupakan pemain terbaru DUX Internacional de Madrid, selamat datang kami ucapkan.”

Tulis kelab di laman media sosial mereka.

“Beliau menjadi pemain pertama dalam sejarah yang ditandatangani dengan menggunakan mata wang digital. Terima kasih Criptan, penaja baru kami yang membantu merealisasikan urusan perpindahan ini.”

Barrel yang sebelum ini sempat membuat lebih 50 kemunculan bersama pasukan simpanan Real Madrid, turut menyatakan kegembiraan beliau berkait urusan perpindahan terbarunya itu.

“Berbangga untuk menyertai projek dari @interdemadrid dengan penuh cita-cita dan tanggungjawab untuk terus bermain dan mencapai tahap terbaik dalam karier saya.”

Tulis beliau di laman media sosial miliknya.

Pada Disember lalu, pemain Carolina Panthers, Russell Okung telah menjadi pemain berprofil tinggi pertama di United States yang dibeli dengan menggunakan mata wang bitcoin.

Okung akan menerima separuh dari gajinya dalam NFL dengan bayaran menggunakan mata wang digital, dan beliau mahu mencetuskan idea sama kepada ramai lagi ahli sukan profesional di luar sana, supaya mengikut jejak langkahnya.

“Duit sememangnya melebihi mata wang, ia tentang kuasa.”

Jelas Okung.

“Menerima bayaran melalui bitcoin adalah salah satu kaedah terbaik untuk mengelakkan rasuah di manipulasikan oleh kedudukan ekonomi.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.