BBC Sahkan Man Utd & Ajax Capai Persetujuan Untuk Van de Beek

Manchester United kini maju selangkah lagi untuk melengkapkan perpindahan pemain tengah, Donny Van de Beek dari Ajax selepas kedua-dua kelab dilaporkan bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai £40 juta.

Pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer adalah peminat kepada pemain antarabangsa Belanda berusia 23 tahun itu setelah beberapa kali menyaksikan sendiri aksi pemain tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Dua media berpengkalan di UK, BBC dan The Guardian berkata United telah mempercepatkan proses membawa masuk pemain itu, dan kini hanya perlu melengkapkan pemeriksaan kesihatan pemain tersebut.

Bagaimanapun United belum lagi memuktamadkan rundingan dengan pemain tersebut yang dijangka tidak akan memberi masalah untuk Man United mengumumkan Van de Beek secara rasmi pada minggu ini.

Van de Beek dijangka akan diberikan kontrak selama lima tahun, dan boleh diturunkan untuk perlawanan pertama menentang Crystal Palace pada 19 September hadapan.

Pemain Ajax itu akan menjadi pemain pertama dibawa masuk oleh Solksjaer pada jendela musim perpindahan musim panas ini setelah kegagalan membawa masuk bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho kerana kegagalan mencapai kata sepakat berkaitan yuran perpindahan.

Van de Beek merupakan salah seorang tunjang utama pasukan Ajax yang mara ke separuh akhir Champions League pada 2019 sebelum dikecewakan oleh Tottenham Hotspur.

Beliau tidak diturunkan dalam aksi persahabatan membabitkan Ajax menentang Eintracht Frankfurt dan Union Berlin pada hujung minggu lalu selepas berita perpindahan ke Old Trafford semakin kencang.

Real Madrid, Bayern Munich, dan Barcelona adalah antara tiga kelab yang turut mengintai pemain tengah ini sebelum ini.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.