Barcelona Pernah Tolak Tawaran Beli Cristiano Ronaldo Kerana Ronaldinho

Ronaldinho bukan sekadar legenda dan ikon bola sepak dunia. Beliau juga dilihat sebagai ‘guru’ kepada pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali, Lionel Messi.

Pemain dari Brazil itu mengajar pemain dari Argentina tersebut sejak dari usia muda mengenai seni bola sepak kompetitif, dan Messi terus mekar bersama Barcelona sehingga bergelar kapten dan antara pemain terhebat dunia pernah ada.

Namun ketibaan Ronaldinho itu sendiri di Nou Camp mungkin tidak akan berlaku sekiranya presiden kelab pada ketika itu, Juan Laporta memilih untuk membawa masuk Cristiano Ronaldo – yang pada hari ini menjadi pesaing Messi secara individu.

“Kami berada di ambang membawa masuk Ronaldinho dan Rafa Marquez,” dedah Laporta melalui Twitter kepada Iniestazo.

“Kemudian wakil Marquez turut menawarkan Cristiano Ronaldo kepada kami. Beliau beraksi bersama Sporting pada ketika itu.

“Salah seorang ejen berkata kami mereka akan menjual Ronaldo kepada Manchester United pada nilai 19 juta pound, tetapi sanggup menerima tawaran 17 juta pound daripada Barcelona.

“Tetapi pada ketika itu kami sememangnya sudah memutuskan untuk membawa Ronaldnho. Cristiano adalah pemain yang akan beraksi di posisi sayap – bahagian sisi serangan. Kami berpendapat Barcelona sudah ada pemain untuk posisi tersebut.

“Oleh kerana itu, kami menolak tawaran untuk menapatkan beliau, dan saya tidak menyesali perkara itu.”

Tiada siapa tahu bagaimana keadaannya sekiranya Ronaldinho bergandingan dengan Cristiano Ronaldo dan Messi, atau bagaiamana Messi dan Ronaldo beraksi bersama-sama dalam sebuah pasukan.

Bola sepak moden pasti memiliki wajah yang berbeza jika ianya berlaku.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.