Barcelona Hantar Aduan Rasmi, Ayah Pengadil El Clasico Penyokong Los Blancos

Barcelona  belum reda dari kemarahan terhadap pengadil perlawanan El Clasico dan dilaporkan telah menghantar aduan rasmi kepada pihak Persatuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Dan terkini media di Sepanyol, SPORT turut membongkar bagaimana rapatnya keluarga pengadil perlawanan, Juan Martinez Munuera dengan Real Madrid.

Juan Martinez Munuera menjadi kemarahan kem Barcelona selepas memberikan sepakan penalti kontroversi yang mengubah haluan perlawanan.

Pada ketika kedudukan sedang terikat 1-1, Clement Lenglet dipersalahkan kerana menarik baju Sergio Ramos. Kapten Los Blancos itu kemudiannya menyempurnakan sepakan, dan Real Madrid muncul pemenang dengan jaringan 3-1.

Namun demikian SPORT mendakwa Martinez datangnya dari keluarga yang mempunyai ikatan ‘Madridista’ yang kuat,

Ayahnya, Juan Roman adalah pengasas kepada salah sebuah kelab penyokong Real Madrid di Benidorm.

Juan Roman juga pernah bergelar pengadil untuk divisyen tiga bola sepak Sepanyol dan pernah menarik perhatian kerana menyarung jersi Real Madrid di bawah pakaian seragam pengadil ketika mengadili perlawanan.

Juan Roman turut mempunyai seorang anak dikenali sebagai Miguel Martinez.

Lebih menarik, Miguel Martinez adalah penjaga garisan perlawanan El Clasico pada Sabtu lalu. Ini bermakna dua adik beradik bersama-sama mengendalikan perlawanan tersebut pada hujung minggu lalu.

Juan Martinez dan Miguel Martinez tidaklah terang-terangan menyarung jersi Real Madrid seperti yang pernah dilakukan oleh ayah mereka.

Namun kemarahan Barcelona sudah tidak boleh dibendung dan aduan rasmi telah diserahkan kepada Presiden RFEF, Luis Rubiales.

Sebelum ini Ronald Koeman berkata setiap keputusan VAR seolah-olah digunakan untuk menentang Barcelona.

Pengadil, Juan Martinez Munuera tidak melihat insiden Clement Lenglet menarik jersi Ramos, namun tetap memberikan sepakan penalti kepada Real Madrid selepas melakukan semakan melalui video.

Barca pula mempunyai dua rayuan untuk semakan VAR dilakukan ditolak. Pertama ialah apabila Raphael Varane dipercayai mengasari Lionel Messi, dan kedua ialah kemungkinan bola terkena tangan pemain pertahanan dari Perancis itu.

“Saya tidak faham VAR. Saya berpendapat ianya hanya digunakan untuk membuat keputusan apabila ia menentang Barca,” kata Koeman selepas pasukan kendaliannya hanya mengumpul 7 mata dari 5 perlawanan La Liga yang dilalui setakat ini.

“Dalam kawasan seperti itu, aksi tarik menarik baju sering berlaku dan saya berpendapat Ramos terlebih dahulu mengasari Lenglet. Memang ada tarikan pada baju, tetapi ia tidak cukup kuat untuk menjatuhkan beliau sampai begitu. Pada saya ia bukan penalti.

“Kami sudah melalui lima perlawanan dan [VAR] hanya digunakan untuk membuat keputusan menentang Barca. Ia tidak pernah memihak kami.

“Keputusan seperti ini akan mempengaruhi keputusan akhir perlawanan, kerana kami bermain dengan amat baik sehinggalah ke saat penalti itu diberikan.”

Ini bukan kali pertama Juan Martinez Munuera mengendalikan perlawanan membabitkan Barcelona yang akhirnya berakhir dengan kontroversi.

Pada musim lalu, Juan Martinez Munuera turut bertanggungjawab mengendalikan perlawanan Copa den Rey membabitkan Barcelona menentang Athletic Bilbao yang berakhir dengan penyingkiran gergasi Catalan itu.

Penyokong Barca turut dilaporkan paranoid dengan pengadil perlawanan yang lain kerana percaya majoriti daripada mereka lebih memihak kepada Real Madrid seperti mana perlawanan-perlawanan yang diulit kontroversi pada musim lalu.

Apa pun keputusan hasil dari aduan oleh Barcelona, ia tidak akan mengubah hakikat kelab itu kini berada di kedudukan ke-12 liga, enam mata di belakang Madrid dan mempunyai pelbagai masalah dalaman dan luar padang.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.